Anak OKU Sarjan Faridah tercari-cari, panggil ibu

Anak istimewa Allahyarhamah Sarjan Faridah, Nurul Jannah, 7, mula mencari arwah ibunya.
Anak istimewa Allahyarhamah Sarjan Faridah, Nurul Jannah, 7, mula mencari arwah ibunya.
A
A
A

POKOK SENA - Anak istimewa kepada Allahyarhamah Sarjan Faridah Abd Rahman, 39, yang meninggal dunia di Kem Marakah, Lubnan mula mencari- cari dan memanggil ibunya sejak Jumaat.

Menurut adik arwah, Hafyzoh Abd Rahman, 21, anak saudaranya, Nurul Jannah Azmi, 7, yang juga orang kurang upaya (OKU) sindrom Down mula memanggil ibunya.

Dia berkata, tiga lagi anak kakaknya termasuk yang bongsu, Ainul Mardiah, 4, sudah mengerti bahawa ibu mereka telah meninggal dunia.

"Bagaimanapun Nurul Jannah masih belum faham, dia mula mencari dan menyebut ibunya sejak semalam (Jumaat).

"Adiknya sudah tahu dan menerima hakikat pemergian ibunya, dia (Ainul) kata ibu telah pergi buat selama-lamanya," kongsinya ketika ditemui di pekarangan Masjid An-Anwar Kampung Tengah, Tualang di sini pada Sabtu.

Suasana pilu ketika bacaan talkin Allahyarhamah Faridah di Tanah Perkuburan Islam Masjid An-Anwar Kampung Tengah, Tualang,
Suasana pilu ketika bacaan talkin Allahyarhamah Faridah di Tanah Perkuburan Islam Masjid An-Anwar Kampung Tengah, Tualang,

Allahyarhamah Faridah meninggalkan suami, Noor Azmi Ariffin, 39, dan empat anak iaitu Nurul Syifa, 13; Muhammad Afnan, 10; Nurul Jannah, 7, dan Ainul Mardiah, 4.

Jenazah anggota Batalion Malaysia 850-11 (MALBATT 850-11) bagi misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan itu selamat dikebumikan di Pokok Sena pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Jenazah Faridah tiba di tanah perkuburan itu pada jam 9 pagi dan selamat dikebumikan pada jam 10.20 pagi mengikut adat istiadat ketenteraan.

Lebih 500 orang terdiri daripada ahli keluarga, sanak-saudara, kenalan serta penduduk tempatan turut memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!