Isteri pegawai kanan polis tak mengaku bersalah guna racun ke atas suami, ibu mentua

Ei Leen (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas dua pertuduhan sengaja dalam cubaan meracun suami dan ibu mentuanya, lima tahun lalu.
Ei Leen (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas dua pertuduhan sengaja dalam cubaan meracun suami dan ibu mentuanya, lima tahun lalu.
A
A
A

KUANTAN - Isteri pegawai kanan polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas dua pertuduhan sengaja dalam cubaan meracun suami dan ibu mentuanya, lima tahun lalu.

Tertuduh, Mou Ei Leen @ Eileen Mou, 42, membuat pengakuan itu, selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Azman Mustapha.

Bagj pertuduhan pertama, ibu kepada dua anak itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan dengan menggunakan racun terhadap suaminya yang berusia 46 tahun.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di rumah No. 2, Lorong Seri Kuantan 23, di sini pada Julai 2019.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan terbabit ke atas ibu mentuanya di rumah kebajikan orang tua di Lorong Seri Kuantan 59, di sini pada Jun 2020.

Bagi kedua-dua pertuduhan, ibu kepada dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 328 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 10 tahun dan bolehlah juga dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Aqharie Durranie Aziz manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Bob S. Arumugam.

Sebelum itu, Raja Zaizul Faridah mencadangkan agar wang jaminan sebanyak RM15,000 dikenakan bagi setiap pertuduhan.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memohon syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis terdekat dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

Peguam mewakili tertuduh turut merayu agar jaminan dikurangkan kerana menanggung dua anak berusia 12 dan 15 tahun.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan meminta agar tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Selain itu, Ei Leen diarahkan supaya tidak mengacau ganggu saksi pendakwaan sehingga perbicaraan selesai.

Kes ditetapkan pada 27 Jun sebagai tarikh sebutan semula.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!