Anggota MALBATT meninggal dunia di Lubnan akibat serangan jantung - ATM

Sarjan Faridah Abd Rahman disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.
Sarjan Faridah Abd Rahman disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Anggota Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), Sarjan Faridah Abd Rahman disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, ia berasaskan keputusan bedah siasat Allahyarham yang dijalankan pihak Hospital Hammoud, Saida, Lubnan pada jam 2.54 petang waktu Lubnan (7.45 malam waktu Malaysia), 19 Mei lepas.

"Keputusan awal bedah siasat telah diperoleh pada 20 Mei 2024 dan hasil bedah siasat tersebut mengesahkan Allahyarham meninggal dunia akibat cardiopulmonary arrest due to myocardial ischemia/thrombosis atau serangan sakit jantung,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan pihak MALBATT 850-11 dengan bantuan Kedutaan Malaysia di Beirut telah menyelesaikan segala urusan berkaitan proses dokumentasi dengan pihak berkuasa Lubnan serta UNIFIL bagi membawa jenazah Allahyarham Faridah pulang ke tanah air.

"Ia bagi tujuan membawa pulang jenazah ke tanah air menggunakan pesawat komersial pada 12.05 tengah hari ini waktu Lubnan (5.05 petang waktu Malaysia) dan dijadualkan tiba di tanah air esok (24 Mei) pada 9.50 malam waktu Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu solat jenazah akan dilaksanakan 25 Mei ini pada jam 5.15 pagi di Pangkalan Udara Subang bagi memberi penghormatan terakhir sebelum dibawa ke kampung halamannya di Pendang, Kedah.

ATM memaklumkan jenazah dijangka dibawa menggunakan pesawat angkut Tentera Udara Diraja Malaysia pada jam 7 pagi dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Anwar, Kampung Tengah, di Pokok Sena, Kedah.

Pada 19 Mei lepas, Markas ATM dalam kenyataan memaklumkan Faridah meninggal dunia pada jam 2.25 pagi waktu Lubnan atau 7.25 pagi waktu Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu Allahyarham yang bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam MALBATT 850-11 di Kem Marakah, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan MALBATT 850-11 apabila rebah selepas turun dari bas di Kem Marakah, sejurus tiba di Lubnan daripada bercuti selama sebulan di Malaysia. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!