Penduduk Bandar Bukit Raja hadap banjir kilat tiga kali setahun

Mohd Zulkifli bersama wakil persatuan penduduk Bandar Bukit Raja menyerahkan memorandum gesaan menyelesaikan isu banjir ke pejabat menteri besar pada Jumaat.
Mohd Zulkifli bersama wakil persatuan penduduk Bandar Bukit Raja menyerahkan memorandum gesaan menyelesaikan isu banjir ke pejabat menteri besar pada Jumaat.
A
A
A

KLANG - Penduduk Bandar Bukit Raja di sini menyerahkan memorandum menggesa kerajaan negeri menyelesaikan isu banjir di kawasan perumahan mereka terutama di fasa 1 dan 2.

Presiden Majlis Permuafakatan Penduduk Bandar Bukit Raja, Mohd Zulkifli Othman berkata, kawasan itu dilanda banjir kilat terutama Jalan Makyong sekurang-kurangnya tiga kali setahun sejak peristiwa banjir besar Disember 2021.

Menurutnya, projek pembangunan yang semakin luas telah memberi kesan kepada perumahan fasa awal khususnya di kawasan rendah apabila berlaku limpahan air daripada Sungai Puloh dan Kapar Kecil yang tidak pernah dinaik taraf.

"Dengan pertambahan fasa-fasa perumahan yang berharga melebihi setengah juta ringgit, kawasan asal terutama Bandar Bukit Raja yang dulunya kawasan ladang sawit kini setiap tahun penduduknya hadapi banjir kilat dan ada antaranya memasuki kawasan dapur serta ruang tamu rumah, " katanya kepada Sinar Harian.

Kejadian banjir kilat di Bandar Bukit Raja.
Kejadian banjir kilat di Bandar Bukit Raja.

Beliau bersama wakil persatuan penduduk telah menyerahkan memorandum gesaan mengatasi banjir kilat di pejabat Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari di Shah Alam pada Jumaat.

Katanya, menerusi memorandum itu penduduk mendesak pemaju SP Setia bersama agensi berkaitan termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor untuk mendalamkan kolam takungan sementara di kawasan Setia Alam bagi mengawal dan mengurangkan limpahan air dari Sungai Puloh.

Ujarnya, penduduk turut mengesyorkan pembinaan kolam tambahan bagi menakung sementara air limpahan kawasan Setia Alam sebelum mengalir ke sungai berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama katanya, pemaju Sime Darby Property serta Majlis Bandaraya DiRaja Klang dan JPS juga perlu menambah kolam takungan sementara di kawasan pemajuan di fasa 1 Bandar Bukit Raja terutama di Jalan Makyong dan Jalan Sumazau.

No Image Caption

"Kami turut mohon longkang dibesarkan terutama di kawasan sepanjang Persiaran Sungai Keramat dan Persiaran Batu Belah susulan saiz longkang sedia ada tidak mampu menampung kapasiti air terutama ketika hujan lebat.

"Saliran banjir bersebelahan Jalan Meru juga perlu disediakan selain pembinaan kunci air antara kawasan saliran Bandar Bukit Raja serta Sungai Puloh sebagai langkah mengawal kemasukan air yang besar dari Setia Alam," katanya.

Tambahnya, semua pembangunan yang sedang berjalan hendaklah dipastikan mematuhi syarat maksimum terutama berkaitan kolam takungan dan sistem perparitan.

Tegasnya, pihak berkuasa tempatan harus mengutamakan menyelesaikan isu banjir di kawasan terlibat terlebih dahulu sebelum menumpukan memberi kelulusan pembangunan lain seperti pembinaan dewan atau pusat komuniti yang akhirnya tidak digunakan.

"Kami juga memohon wang cagaran parit dan sungai serta wang pembangunan yang telah dibayar pemaju digunakan untuk mengatasi isu banjir.

"Penduduk menggesa kerajaan negeri dapat menyediakan satu peruntukan khas tebatan banjir di Klang supaya masalah ini dapat diselesaikan segera," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

b