Empat kali hadap banjir, selut tebal

Azma menyiram air di depan restorannya selepas dipenuhi selut tebal
Azma menyiram air di depan restorannya selepas dipenuhi selut tebal
A
A
A

RANTAU PANJANG - Peniaga kedai makan berdekatan Pintu 2 Kastam, Kampung Parit Air di sini terpaksa menghabiskan masa membersihkan kedai mereka akibat banjir berikutan hujan lebat sejak tiga hari lalu.

Kebanyakan kawasan kedai makan berkenaan dinaiki air sehingga 0.3 meter.

Pemilik restoran, Azma Ubaidillah, 34, memberitahu, hujan lebat sejak Jumaat menyebabkan restorannya dinaiki air dan dipenuhi selut tebal.

Azma yang mula membersihkan gerai sejak awal pagi bagaimanapun bersyukur kerana tiada peralatan perniagaan yang mengalami kerosakan.

Nurdiana membersihkan kawasan restoran yang digenangi air akibat hujan lebat.
Nurdiana membersihkan kawasan restoran yang digenangi air akibat hujan lebat.

"Saya mungkin mengambil masa sehari untuk membersihkan keseluruhan restoran dan tidak beroperasi selama seminggu sehingga benar-benar kering," katanya ketika ditemui pada Ahad.

Jelas Azma lagi, banjir kali ketiga awal Januari lalu menyebabkan dia mengalami banyak kerugian selepas kawasan perniagaan itu dinaiki air setinggi lebih satu meter.

Peniaga itu mendakwa, pembinaan Benteng Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Kampung Tersang, Rantau Panjang mengakibatkan bencana itu semakin teruk.

Artikel Berkaitan:

Pemilik kedai makan, Wan Shamsiah Wan Musa, 58, pula memberitahu, hujan lebat itu turut memberi kesan kepada penduduk kampung namun tiada yang berpindah.

Wan Shamsiah
Wan Shamsiah

"Ini merupakan banjir kali keempat berikutan air bukit dari daerah Jeli turun selain air Sungai Golok yang tinggi," katanya.

Wan Shamsiah memberitahu, banjir itu sukar surut dan mungkin mengambil masa kira-kira lima hari jika cuaca panas.

Sementara itu, pekerja sebuah restoran di kawasan berkenaan, Nurdiana Che Wei, 19, berkata, hujan lebat mengakibatkan restoran itu digenangi air sejak Sabtu.

"Saya mula mengemas dan mencuci lantai awal pagi tadi bersama majikan," katanya.

"Saya membantu menyapu dan membuang sampah serta selut tebal dalam restoran ini," katanya.

Sementara itu, sehingga jam 12 tengah hari, semua pusat pemindahan sementara (PPS) sudah ditutup dan mangsa dibenarkan pulang ke rumah.