3 maut, 1,000 rumah musnah gempa 6.9 magnitud gegar Papua New Guinea

Penduduk tempatan berdiri di atas jambatan sementara di Kampung Angriman yang dilanda banjir di daerah Angoram, Sepik Timur, Papua New Guinea. Foto AFP
Penduduk tempatan berdiri di atas jambatan sementara di Kampung Angriman yang dilanda banjir di daerah Angoram, Sepik Timur, Papua New Guinea. Foto AFP
A
A
A

SYDNEY - Media tempatan melaporkan pada Isnin bahawa tiga orang maut dan dianggarkan 1,000 kediaman musnah selepas gempa bumi berukuran 6.9 magnitud menggegarkan Papua New Guinea (PNG) pada hujung minggu.

Data Kajian Geologi Amerika Syarikat menunjukkan bahawa gempa bumi berukuran 6.9 magnitud melanda bahagian utara negara pulau Pasifik itu pada kira-kira 6.22 pagi waktu tempatan pada Ahad.

Dengan kedalaman 40.2km, pusat gempa berada pada 4.139 darjah latitud selatan dan 143.159 darjah longitud timur, terletak kira-kira 38 kilometer timur laut Ambunti.

Beberapa kawasan di wilayah Sepik Timur PNG, termasuk Ambunti dan Wewak, menerima kesan teruk akibat gempa itu.

Menurut Xinhua, akhbar harian PNG, Post Courier, mendedahkan bahawa bencana itu telah meragut tiga nyawa setakat ini, termasuk seorang ibu dan anaknya di kampung Jikinumbu dan seorang kanak-kanak lelaki di kampung Sotmeri.

Sekurang-kurangnya 1,000 kediaman musnah selepas gempa bumi melanda sebahagian wilayah Sepik Timur, yang sudah pun terjejas akibat banjir, menurut akhbar PNG, The National.

Stanley Samban, ahli Parlimen PNG yang mewakili Wewak, juga memberitahu akhbar itu bahawa jambatan yang menghubungkan Moem Barracks ke Wewak runtuh, yang menghalang akses Pasukan Pertahanan PNG ke bandar itu.

"Disahkan, dua silinder oksigen dari wad pembedahan Hospital Besar Boram meletup semasa gempa bumi," tambah Samban.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri PNG, James Marape telah mengumumkan pembiayaan sebanyak 500 juta Kina (kira-kira AS$132 juta) untuk memberikan bantuan segera.

"Pejabat Ketua Setiausaha memahami keadaan yang dihadapi dan sedang menyelaraskan pendekatan keseluruhan kerajaan melalui jawatankuasa pemandu bencana kebangsaan untuk menilai dan menyelaras bantuan Pejabat Bencana Negara dan pejabat bencana wilayah untuk intervensi khas," Marape dipetik sebagai berkata pada Ahad.

Perdana Menteri berkata, negara itu baru-baru ini dilanda gempa bumi kuat, banjir yang disebabkan oleh hujan lebat dan berlaku kejadian tanah runtuh, air pasang besar, angin kencang dan lain-lain.

"Ini termasuk gempa bumi pagi ini di Sepik Timur dan sebahagian wilayah Madang yang penilaian sedang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa wilayah dan tempatan," katanya. - Bernama-Xinhua

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28