Wartawan veteran James Ritchie terima Anugerah Hawana 2024

Anwar menyampaikan Anugerah Hawana kepada James Ritchie (depan dua, kiri) pada Majlis Kemuncak Hawana 2024 pada Isnin. Foto Bernama
Anwar menyampaikan Anugerah Hawana kepada James Ritchie (depan dua, kiri) pada Majlis Kemuncak Hawana 2024 pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - James Alexander Ritchie atau lebih dikenali sebagai James Ritchie dinobatkan sebagai penerima Anugerah Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 pada majlis kemuncak sambutan di sini pada Isnin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan anugerah berkenaan kepada James, 74, yang setia menabur bakti dalam dunia kewartawanan selama lima dekad lebih sejak 1971.

Bermula sebagai wartawan kadet Straits Times di ibu negara ketika berusia 23 tahun, beliau perlahan-lahan ‘mendaki’ puncak kerjaya dalam industri kewartawanan khususnya di Sarawak dengan menyandang beberapa jawatan media di negeri ini antaranya Wartawan NST Sarawak pada 1981, Pegawai Perhubungan Awam di Jabatan Ketua Menteri Sarawak (1998) dan Perunding Media untuk Sarawak Digest (2022).

Jawatan lain termasuk penulis khas Sarawak Tribune pada 2022, Penasihat Editorial dan Pengarah Eksekutif Eastern Times (2006) dan Pengarah Eksekutif New Sarawak Tribune (2010).

Jasanya, sebagai individu ‘penting’ dalam dunia penulisan dan kewartawanan melayakkan beliau menerima pengiktirafan, antaranya menerusi Anugerah Emas Shell Kenyalang, Anugerah Akhbar AZAM dan Anugerah Emas Ang Lai Soon.

Selain itu, Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Hawana 2024 kepada Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) yang diterima oleh Presidennya, Ronnie Teo sebagai tanda penghargaan buat persatuan berkenaan.

Anugerah Hawana bertujuan mengiktiraf, dan sebagai penghormatan kepada wartawan profesional, individu atau organisasi yang memberi sumbangan besar bukan sahaja dalam bidang kewartawanan tetapi dalam membentuk minda rakyat menerusi karya-karya dihasilkan.

Anugerah sulung Hawana telah diberikan kepada Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 2018, diikuti Kumpulan Karangkraf (Karangkraf) (2022) dan Datuk Lat atau nama sebenarnya Datuk Mohd Nor Khalid (2023).

Artikel Berkaitan:

Pada majlis hari ini, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut menyampaikan Anugerah Apresiasi Premier Sarawak sempena Hawana 2024 kepada tujuh penerima iaitu jurugambar Star Media Group, Zulazhar Sheblee; bekas Ketua Pemberita RTM Sarawak, Alice Wee Siok Lian; Editor Bersekutu New Sarawak Tribune, M Rajah dan Wartawan Kanan Malay Mail, Sulok Tawie.

Penerima lain terdiri daripada bekas Editor Eksekutif Utusan Sarawak, Willian Cornelius Chan Khun Neng; bekas pengurus besar Chinese Daily News, Johnny Loh Kee Kong dan Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak, Kadir Dikoh.

Hawana 2024 yang bertemakan 'Etika Teras Kewartawanan Mapan' berlangsung selama tiga hari sejak Sabtu lepas dan dihadiri kira-kira 1,000 tetamu terdiri daripada pengamal media tempatan serta antarabangsa.

Wakil persatuan, kelab wartawan tempatan dan wartawan dari 12 negara terlibat dari Singapura, Indonesia, Filipina, Brunei, Vietnam, Kemboja, Timor Leste, China, Korea Selatan, Qatar, Perancis dan Kuwait telah berhimpun di bandar raya ini sejak Sabtu yang menyaksikan pelbagai program disusun bagi meraikan sambutan julung kalinya diadakan Bumi Kenyalang.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena dengan penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bertujuan meraikan sumbangan pengamal media.

Perhimpunan wartawan Malaysia ini dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama kerajaan negeri Sarawak. Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) adalah agensi pelaksana. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!