Lelaki paksa teman wanita gugur kandungan ditahan

Polis
Polis
A
A
A

SEPANG - Seorang mekanik tergamak memberikan pil kepada kekasihnya sehingga mengakibatkan wanita itu mengalami keguguran dalam kejadian dekat sini, Rabu lalu.

Bagaimanapun, tindakan suspek itu terbongkar setelah mangsa datang untuk mendapatkan rawatan di sebuah hospital.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden Shan Gopal Krishnan berkata, laporan polis diterima daripada sebuah hospital berkaitan kejadian pada 22 Mei lalu kira-kira jam 2.50 petang.

"Siasatan mendapati gadis berkenaan mengalami keguguran selepas memakan pil yang diberikan oleh teman lelakinya sebelum datang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan pada 15 Mei lalu.

"Hasil siasatan lanjut kemudiannya mendapati janin berkenaan telah ditanam di sekitar kawasan Taman Tasik Puchong," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, susulan kejadian suspek diberkas kira-kira jam 7.30 petang di sekitar kawasan tasik berkenaan.

"Suspek diberkas merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 21 tahun dan kekasih kepada mangsa.

"Selain itu, turut dirampas sebatang cangkul yang dipercayai digunakan untuk menanam janin berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!