Suspek kes bunuh teman wanita mati ditembak polis

Lokasi kejadian seorang lelaki maut ditembak polis kerana cuba menyerang pasukan serbuan di Pangsapuri Melati, Bukit Subang, Shah Alam, Selangor pada Rabu.
Lokasi kejadian seorang lelaki maut ditembak polis kerana cuba menyerang pasukan serbuan di Pangsapuri Melati, Bukit Subang, Shah Alam, Selangor pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki dipercayai suspek kes bunuh wanita Indonesia di Sungai Way, Petaling Jaya, Isnin lalu, ditembak polis ketika serbuan dilakukan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya melakukan serbuan pada jam 5.30 petang di sebuah pangsapuri di Bukit Subang, Shah Alam di sini pada Rabu.

Menurut beliau, serbuan itu melibatkan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Selangor dan JSJ Ibu pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

"Semasa sampai di lokasi kejadian, pasukan serbuan mengetuk pintu beberapa kali namun tidak dibuka.

"Pasukan serbuan terpaksa menyerbu masuk dan memperkenalkan diri sebagai polis. Suspek seorang lelaki yang masih belum dikenal pasti bangsanya secara tiba-tiba meluru ke arah seorang pegawai serbuan dengan bersenjatakan parang

“Bagi mempertahankan diri, pegawai serbuan terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah suspek," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Hussein berkata, sebilah parang panjang berukuran 28 sentimeter turut dirampas daripada kejadian tersebut.

Menurut beliau, suspek telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi pegawai penyiasat, Asistan Superintenden Muhammad Abdul Hafiz Sariee di talian 014-8905051," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang wanita dipercayai warga Indonesia ditemukan maut di tepi tangga berhampiran lif di tingkat lima, Blok 5, Desa Mentari, Petaling Jaya, dekat sini dengan kesan kecederaan pada badan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, serbuan yang dilakukan di Bukit Subang adalah susulan kes pembunuhan kejam seorang wanita warganegara Indonesia pada Isnin.

Kata beliau, mangsa berusia 19 tahun dipercayai telah dibunuh oleh teman lelakinya dengan lapan tikaman.

"Saya percaya kes pembunuhan wanita di Petaling Jaya itu dapat diselesaikan," katanya kepada pihak media pada Rabu.