MYAirline belum bayar tunggakan gaji, KWSP kepada 1,000 kakitangan

MYAirline masih belum menjelaskan bayaran gaji sebanyak RM14 juta dan caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada 1,000 pekerja sejak Oktober 2023 sehingga April 2024. - Gambar hiasan
MYAirline masih belum menjelaskan bayaran gaji sebanyak RM14 juta dan caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada 1,000 pekerja sejak Oktober 2023 sehingga April 2024. - Gambar hiasan
A
A
A

SYARIKAT penerbangan tambang murah, MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) masih belum menjelaskan bayaran gaji sebanyak RM14 juta dan caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada 1,000 pekerja sejak Oktober 2023 sehingga April 2024.

Memetik laporan News Straits Times, Ketua Stesen MYAirline Singapura, Faezah Hamid berkata, kakitangan dari Malaysia, Singapura dan Indonesia masih menunggu penyelesaian sejak pertemuan terakhir mereka dengan pihak pengurusan beberapa bulan lalu.

Menurutnya, keadaan tersebut bertambah rumit apabila aset pemilik telah dibekukan buat sementara waktu sehingga siasatan selesai.

"Kakitangan di Malaysia berdepan beban tambahan kerana mereka perlu membayar cukai pendapatan ke atas gaji yang tidak dibayar.

“Beberapa pekerja telah dimaklumkan bahawa mereka masih bekerja secara teknikal, walaupun telah diberhentikan.

"Kami memerlukan penyelesaian segera kerana keadaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada kami tetapi juga keluarga yang bergantung kepada kami untuk mendapatkan sokongan,” katanya pada Jumaat.

Pada 12 Oktober, MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya kerana tekanan kewangan menjadi punca keputusan sukar itu terpaksa dibuat selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat itu.

Menerusi satu kenyataan, syarikat itu berkata, penggantungan tersebut akan berlanjutan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, menurut Faezah, pada 7 Oktober tahun lalu kakitangan syarikat telah dipanggil untuk menghadiri mesyuarat secara dalam talian dan fizikal manakala pertemuan terakhir pula berlaku pada 11 Oktober.

Ujarnya, pertemuan terakhir bersama pihak pengurusan termasuk pengasas syarikat, Datuk Allan Goh Hwan Hua dan Eksekutif interim MyAirline, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman turut membincangkan penyelesaian isu tunggakan gaji pekerja.

Semasa pertemuan itu, beliau mendakwa Hwan Hua memaklumkan kepada semua bahawa syarikat itu tidak dapat membayar gaji mereka pada September tetapi sedang berbincang dengan pelabur lain.

“Mesyuarat tersebut turut dihadiri semua ketua jabatan termasuk jabatan komersial, pengurusan hasil, sumber manusia, kewangan dan operasi.

“Saya sendiri cuba menghantar e-mel kepada Azharuddin. Bagaimanapun tiada balasan diterima.

“Mesyuarat itu diadakan apabila berita mengenai pelabur baharu akan datang untuk membantu syarikat tetapi pihak itu menarik diri,” ujarnya.

Dalam pada itu, Faezah berkata, pada 13 Oktober 2023 Azharuddin merancang mengadakan pertemuan di mana beliau akan mengetuai rancangan perolehan syarikat.

Walau bagaimanapun, menurutnya, pertemuan itu diadakan beberapa kali sehingga akhir November tetapi hanya dihadiri sukarelawan dan beberapa kumpulan sahaja.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!