Dasar luar Malaysia membimbangkan rakyat

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

TUN Dr Mahathir Mohamad memang terkenal di seluruh dunia sebagai pemimpin yang lantang bersuara di pentas antarabangsa.

Bagaimanapun, ada sesetengah pihak melahirkan kebimbangan terhadap kelantangan Perdana Menteri berusia 94 tahun itu sehingga menjejaskan hubungan dagang dengan negara luar.

Baru-baru ini, India memaklumkan bahawa mereka ingin mengurangkan import minyak sawit bertapis dari Malaysia.

Dr Mahathir tidak disenangi New Delhi kerana kenyataan beliau berhubung perkembangan di Kashmir termasuk kritikan terhadap undang-undang baharu berkaitan pemberian kewarganegaraan untuk pendatang asing bukan beragama Islam.

Selain itu, hubungan diplomatik antara Malaysia dan Arab Saudi turut mendapat perhatian daripada pelbagai pihak sehingga ada yang menimbulkan kebimbangan bahawa negara akan berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan tambahan kuota haji pada tahun ini.

Kes terbaharu melibatkan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai rakaman perbualan menerusi telefon melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Putera Mahkota Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan dan Ketua Eksekutif Mubadala Development Company (MDC), Khaldoon Al-Mubarak berhubung isu syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pendedahan SPRM itu dibimbangi boleh menyebabkan pelabur-pelabur atau pemimpin-pemimpin dari negara berkenaan tidak mahu lagi berurusan dengan Malaysia kerana kini terbongkar amalan merakam perbualan menerusi telefon telah dipraktikkan di negara ini secara meluas dan mudah.

Bagi rakyat, apa sahaja dasar luar kerajaan yang dilihat mampu meraih keuntungan besar dari sudut ekonomi pasti akan mendapat sokongan yang besar namun jika ia sekadar membangkitkan kemarahan pihak-pihak tertentu sudah pasti tidak membawa sebarang kebaikan.

Artikel Berkaitan:

Malaysia harus dilihat sebagai sebuah negara mesra pelabur dan ingin berkawan dengan sesiapa sahaja supaya matlamat untuk memberikan kesejahteraan kepada rakyat diberikan keutamaan.

Kita perlukan jaminan ini daripada kerajaan.