Fahmi kecam tindakan ugut, ancam keselamatan wartawan

Fahmi selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Terapung Bandaraya Kuching hari ini. Foto Bernama
Fahmi selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Terapung Bandaraya Kuching hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Kerajaan memandang serius dakwaan ahli politik menyerang dan mengugut wartawan sebuah portal berita berbahasa Tamil baru-baru ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, beliau berpendirian bahawa wartawan perlu bebas melakukan tugas mereka dan bagi yang menerima ugutan, mereka mempunyai hak untuk membuat laporan serta tidak harus dihalang.

"Saya tidak bersetuju dan kecam sebarang tindakan mengugut atau mengancam keselamatan wartawan. Saya belum terima maklumat penuh mengenai insiden terbabit.

"Namun, saya bersedia untuk bertemu kedua-dua pihak iaitu wartawan yang didakwa diancam dan juga mereka yang didakwa mengancam. Saya ingin fahami apa yang berlaku dan sebaik mungkin mencari penyelesaian,” kata Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ), Teh Athira Mohamed Yusof berkata, pihaknya amat prihatin terhadap keselamatan dan kesejahteraan wartawan terlibat iaitu P. Puvaneswaran dan M. Pavalam, serta seluruh komuniti wartawan Tamil.

NUJ menerusi kenyataan meminta Fahmi memberi perhatian mengenai kejadian itu dan mengambil tindakan segera bagi menghentikan sebarang bentuk serangan terhadap wartawan.

Sementara itu, Fahmi berkata, beliau mengingatkan dirinya sendiri serta rakan-rakan politik lain untuk menjaga adab dan akhlak mereka terutamanya semasa berhadapan dengan media.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun mereka (ahli politik) tidak bersetuju dengan pandangan dalam sesuatu laporan itu, secara umumnya mereka ada hak untuk menjawab. Jadi gunakan ruang itu, jangan melakukan sebarang tindakan di luar lunas undang-undang,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!