Polis terima 72 laporan penipuan 'MIDF Investment'

Ramli
Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia menerima 72 laporan membabitkan kerugian lebih RM2.05 juta daripada mangsa sindiket penipuan pelaburan yang menggunakan nama 'MIDF Investment'.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya telah mengesan sindiket yang sedang aktif menawarkan skim pelaburan melalui Facebook.

"Sindiket turut menggunakan logo Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), sebuah syarikat milik Malaysia Building Society Berhad (MBSB) dipercayai untuk mengelirukan mangsa," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, siasatan dijalankan mendapati sindiket itu menawarkan keuntungan yang tinggi hanya dalam tempoh tiga hingga enam jam selepas pelaburan dibuat.

"Lapan pakej pelaburan ditawarkan dari serendah RM300 (keuntungan RM 13,999) sehingga RM5,000 (keuntungan RM 99,999).

"Pembayaran wang pelaburan dibuat melalui akaun bank persendirian yang dipercayai adalah akaun keldai," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan yang terlalu lumayan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penggunaan akaun persendirian untuk menerima wang pelaburan juga merupakan tanda amaran bahawa skim pelaburan tersebut adalah meragukan.

"Untuk rekod, pihak Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia telah menyenaraikan 'MIDF Investment di dalam 'alert list' masing-masing," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!