PLUS selamat buat sementara

A
A
A

PENGUMUMAN mengekalkan konsesi lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Bhd (PLUS) di bawah kawalan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mungkin satu-satunya keputusan terbaik oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sejak mengambil alih pentadbiran negara.

Namun respons balas Pengerusi Maju Holdings, Abu Sahid Mohamed yang tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan terutama Khazanah nampaknya sangat biadab dan angkuh.

Dalam kenyataan kepada portal berita Free Malaysia Today (FMT) beliau menyifatkan keputusan itu sebagai bodoh. Beliau juga mendakwa Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Shahril Ridza Ridzuan sebagai pembohong kerana menyatakan Khazanah tidak pernah meletakkan PLUS sebagai aset untuk dijual.

Kata Abu Sahid, Maju Holdings dipelawa membida, bukan seperti syarikat lain yang masuk tanpa jemputan.

Namun kenyataan Abu Sahid sendiri bertentangan apabila memberitahu FMT: “Bagaimana mereka boleh kata saya tidak dipelawa. Kami tulis surat kepada mereka, kami orang pertama menulis surat kepada mereka.”Daripada kenyataan Abu Sahid itu, jelas bahawa Maju Holdings yang terlebih dahulu menghantar cadangan belian, bukannya Khazanah memanggil sebut harga atau tender penjualan.

Untuk rekod, Shahril sejak tahun lalu lagi sudah menyatakan ketidaksetujuan beliau dengan cadangan menjual PLUS kepada mana-mana pihak.

Ia bukan kali pertama Maju Holdings cuba melakukan pengambilalihan. Pada tahun 2017, Maju Holdings mengemukakan cadangan pembelian PLUS namun ditolak oleh kerajaan.

Pada hemat penulis, ada tiga sebab kenapa cadangan pengambilalihan ini terpaksa ditolak oleh kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Pertamanya, kerajaan sedang berhadapan kritikan keras rakyat dan pembangkang mengenai penjualan pelbagai aset dan syarikat kerajaan di bawah Khazanah. Justeru, satu lagi penjualan sebesar PLUS boleh menghakiskan terus kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Kedua, pendirian Pengarah Urusan Khazanah yang sejak awal memberi isyarat bahawa beliau tidak setuju dengan cadangan penjualan PLUS kepada swasta. Shahril yang juga bekas CEO KWSP melihat kepentingan mengawal aset strategik kerajaan dan pelaburan KWSP bagi menguntungkan penyimpan.Bidaan haram

Ketiga ialah persaingan bidaan haram sesama kroni. Bidaan itu adalah haram kerana Khazanah sendiri tidak mengumumkan sebarang jemputan membida untuk PLUS.

Kerajaan sukar membuat keputusan penjualan PLUS kerana ia menjadi rebutan antara kroni kerajaan kini.

Terdapat empat syarikat yang menawarkan pembelian iaitu Widad Business Group (WBG), Maju Holdings Sdn Bhd, RRJ Capital dan Karongsa Private Capital Sdn Bhd (KPCSB)

Pembabitan RRJ Capital yang merupakan sebuah syarikat pelaburan dari Hong Kong dalam penawaran itu menimbulkan persoalan apakah mereka mewakili kepentingan ahli politik tertentu dalam kerajaan hari ini?

Pengekalan PLUS di bawah Khazanah Nasional dan KWSP adalah kejayaan perjuangan rakyat terutamanya pembangkang yang terus mengkritik tindakan melupuskan aset menguntungkan kepada pihak swasta.

Rakyat belum lupa pada tahun 2011, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengarahkan pengambilalihan sepenuhnya PLUS oleh Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menstrukturkan semula perjanjian tol yang berat sebelah sejak tahun 1990-an.Pengambilalihan itu membolehkan KWSP memperolehi pendapatan lebih baik bagi membayar dividen.

Daripada setiap ringgit tol yang dikutip, 51 sen beralih kepada kerajaan melalui Khazanah Nasional dan 49 sen kepada KWSP, bukan kepada swasta.

Justeru, marilah kita meraikan kejayaan menghalang aset kerajaan daripada dijual. Kekhuatiran kita hanyalah ia mungkin keputusan sementara yang berubah dalam masa setahun dua lagi.