Tiga PATI mengaku bersalah ceroboh, melombong NR-REE

Tiga PATI warga Myanmar mengaku ceroboh, melombong NR-REE di Hutan Simpan Bintang Hujau, Hulu Perak, tahun lalu.
Tiga PATI warga Myanmar mengaku ceroboh, melombong NR-REE di Hutan Simpan Bintang Hujau, Hulu Perak, tahun lalu.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Tiga lelaki warga Myanmar dikenakan hukuman penjara masing-masing setahun dan tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Jumaat atas pertuduhan menceroboh hutan simpanan kekal dan melombong unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) tanpa permit serta menceroboh hutan simpan tahun lalu.

Hakim Rohaida Ishak memutuskan demikian selepas tertuduh, Ng Mg Win, 28 dan Ng Win Khin, 36 dan Kyaw Kyaw Sab@ Kyaw Kyaw San, 39, yang juga pendatang asing tanpa izin (PATI) mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga lelaki itu didakwa telah memasuki hutan simpanan kekal tanpa permit memasuki hutan simpanan kekal yang sah.

Perbuatan itu dilakukan di Kompartmen 64 dan 58 Hutan Simpan Bintang Hijau dalam daerah Hulu Perak pada jam 3.30 petang, 8 Disember dan jam 9 pagi, 9 Disember 2023.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 47(1)(c) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (pemakaian) 1985 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 47(4) enakmen yang sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian menjatuhkan setiap tertuduh dikenakan hukuman penjara setahun dari tarikh ditangkap.

Pada prosiding di mahkamah sama, Mg Win dan Win Khin turut mengaku bersalah atas menjalankan aktiviti melombong mineral tanpa permit penggunaan.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan itu bersama sembilan lagi lelaki warga tempatan pada jam 3.30 petang di lokasi dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 32(1) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (pemakaian) 1985 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) enakmen sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Hakim Rohaida kemudian menetapkan kedua-dua lelaki terbabit masing-masing dikenakan hukuman penjara dua tahun dari tarikh ditangkap.

Media pada 13 Disember 2023 melaporkan polis turut menahan 31 individu termasuk 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai terlibat dalam aktiviti perlombongan haram NR-REE di Hutan Simpan Bintang Hijau, Hulu Perak.

Tangkapan dibuat menerusi Op Khazanah pihak polis bersama Jabatan Perhutanan telah menjumpai kawasan yang dipercayai berlaku aktiviti perlombongan tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!