Balai polis terpencil akan dipasang CCTV, lampu limpah - KPN

Razarudin. Foto Bernama
Razarudin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melihat keperluan dari segi keselamatan melibatkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan pencahayaan susulan serangan di Balai Polis Ulu Tiram, 10 Mei lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husin berkata, pihaknya sedia maklum berkaitan sudut keanggotaan selain keadaan infrastruktur dan kemudahan yang ada di balai-balai berkenaan.

"Prosedur operasi standard (SOP) bagi balai-balai ini sememangnya sudah ada dan ditetapkan, kadang tu kita faham bilangan keanggotaan terhad, misalnya satu-satu masa seorang anggota ditugaskan sebagai prawler (rondaan dalam balai) dan seorang lagi di bahagian inquiry (terima laporan).

"Hakikatnya, memang kalau dilihat ada kekurangan dan Insya-ALLAH semalam (Khamis) kita telah adakan mesyuarat, antaranya termasuk melibatkan keanggotaan, dan kita akan lihat berkaitan perkara tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pejabat Siasatan Jenayah Penggubahan Wang Haram, Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, selain itu, aspek logistik dan kemudahan turut menjadi perhatian.
Artikel Berkaitan:


"Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) amat penting, sekaligus sebagai salah satu elemen keselamatan selain pemasangan lampu limpah bagi parameter kawasan-kawasan tertentu dalam balai," katanya.

Pada 17 Mei lalu, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan kawalan keselamatan di semua balai polis di Johor susulan insiden serangan ahli Jemaah Islamiah (JI) di Balai Polis Ulu Tiram, Johor.

Justeru, Razarudin berkata, kawalan keselamatan turut akan dipertingkatkan di kawasan melibatkan individu berprofil tinggi termasuk kawasan istana.