Di mana empati sebagai manusia?

Sosok yang menjadi idola oleh semua anak terutama anak perempuan juga boleh menjadi manusia keji yang akan dibenci oleh si mangsa. - Gambar hiasan 123RF
Sosok yang menjadi idola oleh semua anak terutama anak perempuan juga boleh menjadi manusia keji yang akan dibenci oleh si mangsa. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

Sejak kebelakangan ini, banyak berita berkaitan kes ‘haruan makan anak’ dilaporkan dan dihebahkan melalui media massa sama ada di kaca televisyen, surat khabar mahupun media sosial.

Kejadian yang berlaku pula bukanlah aduan kali pertama dibuat kerana ada kes yang telah berlarutan selama bertahun-tahun, didiamkan, dinafikan sehinggakan ada mangsa yang mengandung dan melahirkan anak tidak sah taraf.

Pelakunya pula adalah darah daging sendiri. Ayah, abang, datuk, ayah saudara atau ahli keluarga terdekat. Sosok yang menjadi idola oleh semua anak terutama anak perempuan juga boleh menjadi manusia keji yang akan dibenci oleh si mangsa.

Mengambil beberapa kes yang pernah dilaporkan, antaranya pada 6 Februari lalu, bapa kepada dua anak telah didakwa atas pertuduhan merogol anak kandung, melakukan amang seksual fizikal, ugut bunuh dan melibas parang terhadap isterinya.

Pada 27 Februari pula, seorang peniaga kedai makan dihadapkan ke mahkamah atas dua pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anak kandungnya.

Baru-baru ini juga ada bapa yang dihukum penjara 20 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen kerana merogol anak kandung yang didakwa menjadi mangsa nafsu lelaki itu sejak berusia 12 tahun sehingga melahirkan dua anak.

Lebih menyedihkan apabila perbuatan keji tersebut dilakukan oleh bapa durjana itu tanpa sedikit pun perasaan takut, empati atau memikirkan tentang masa depan anak perempuannya itu.

Adakah ia adil bagi seorang kanak-kanak yang baru dalam lingkungan lapan hingga 15 tahun untuk berdepan dengan kesan daripada tindakan keji ahli keluarga sendiri?

Artikel Berkaitan:

Mereka yang akan terus-terusan menanggung kesan tersebut dari segi emosi dan psikologi. Trauma, takut, marah, benci dan malu akan menghantui mereka sehingga entah bila.

Walaupun si pelaku menerima hukuman dan meringkuk di penjara tetapi anak yang menjadi mangsa mungkin akan terus menerima persepsi negatif, akan dipandang serong dan turut sama ‘dijatuhkan’ hukuman oleh masyarakat sekeliling.

Dan, adakah hukuman atau sebatan yang diterima oleh pelaku akan menginsafkan dirinya untuk tidak mengulangi jenayah terkutuk itu jika dia dibebaskan kelak?

Kebanyakan kes ‘haruan makan anak’ didiamkan kerana ada isteri yang tidak sanggup melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa kerana suami merupakan penanggung pendapatan keluarga, satu-satunya tempat bergantung.

Mungkin tidak mahu ahli keluarga seumur hidup atau bertahun-tahun meringkuk dalam penjara atau tidak percaya perbuatan itu dilakukan oleh pasangannya.

Ada juga kes ibu menarik semula laporan kerana serba salah dan kasihan pada suami atau pelaku yang masih remaja (adik-beradik), kononnya akan membuatkan keluarga terumbang-ambing.

Namun, adakah ia adil untuk anak-anak perempuan yang dijadikan pemuas nafsu oleh ahli keluarga sendiri? Bagi penulis, ibu yang tidak berbuat apa-apa dan hanya ‘tutup mata’ dengan perbuatan terkutuk suaminya itu sebagai mementingkan diri sendiri.

Malah, ada juga ibu yang menyalahkan anak perempuan yang menjadi mangsa sebagai punca berlaku jenayah tersebut.

Tindakan si ibu yang tidak melaporkan jenayah tersebut kepada pihak berkuasa juga boleh dianggap sebagai bersubahat dan perlu dikenakan hukuman setimpal kerana secara tidak langsung dia tetap terlibat dengan kegiatan jenayah seksual dalam keluarganya sendiri.

Seorang ibu sepatutnya mempertahankan anak kandung daripada diperlakukan sedemikian rupa.

Selamatkan mangsa dengan mendapatkan bantuan, bukannya dengan mudah meminta anak ‘lupakan kisah hitam’.

‘Haruan makan anak’ atau sumbang mahram adalah jenayah keluarga yang tidak patut dimaafkan. Malah, pelakunya tidak layak lepas bebas di muka bumi ini.

* Qurratul’aina Quddus ialah wartawan Sinar Harian

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!