[VIDEO] Pengadu, Firdaus Wong tidak berpakat jatuhkan Ebit Lew

A
A
A

TENOM - Pengadu dalam kes Ebit Lew menafikan bahawa dia membuat pakatan bersama Firdaus Wong untuk menjatuhkan pendakwah tersebut.

Dalam keterangan pengadu sebagai saksi kesembilan kes itu turut memberitahu mahkamah bahawa dia tidak pernah berjumpa dengan Firdaus Wong sehingga laporan polis dibuat di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

"Firdaus Wong ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu mangsa seksual, maksud saya sebab itulah kami dibawa berjumpa dengan beliau," jelasnya ketika menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Tenom, di sini pada Khamis.

Wanita terbabit turut memaklumkan perkara itu selepas ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria dalam pemeriksaan utama mengenai tujuan dia dibawa berjumpa dengan Firdaus Wong selepas membuat laporan polis.

Jelasnya lagi, Firdaus Wong juga tidak menawarkannya apa-apa bayaran atau imbuhan kepadanya untuk membuat laporan polis.

Saksi dalam keterangannya juga mengaku ada menceritakan kejadian gangguan seksual yang dihadapinya kepada Akhi Fairuz dan Firdaus Wong.

Artikel Berkaitan:

Ebit Lew ketika hadir di Mahkamah Majistret Tenom.
Ebit Lew ketika hadir di Mahkamah Majistret Tenom.

"Saya ceritakan kepada Akhi Fairuz selepas 26 Julai 20231 dan Firdaus Wong pada pertama kali kami berjumpa, selepas saya membuat laporan," katanya.

Bagaimanapun, cerita yang disampaikan kepada mereka tidak secara terperinci seperti diberitahu kepada pihak polis yang merakam keterangannya.

"Tidak, sebab masa kami berjumpa singkat saja. Saya jumpa dengan Firdaus Wong tidak lama lepas itu dengan Akhi Fairuz, saya cerita hanya melalui telefon," katanya.

Sebelum itu, saksi memberitahu mahkamah dia membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Aman dan bukan di Tenom pada 7 Ogos 2021 kerana Ebit Lew adalah seorang pendakwah.

Ketika laporan polis dibuat, Akhi Fairuz turut bersama kerana beliau merupakan saksi sebelum mengajak untuk bertemu dengan Firdaus Wong.

Untuk rekod, Firdaus Wong atau Firdaus Wong Hai Hung, 41, merupakan saksi ketiga manakala Akhi Fairuz atau Mohd Fairuz Abu, 39, merupaka saksi pertama dalam perbicaraan kes gangguan seksual Ebit Lew.

Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 38, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan dikendalikan oleh Zahida dan Analia Kamaruddin sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan Ebit Lew diwakili oleh Datuk Ram Singh, dan Kamarudin Mohmad Chinki manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!