Penganggur dijel enam bulan, muat naik komen jelik terhadap Nabi Muhammad

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas tiga pertuduhan memuat naik komen jelik terhadap Nabi Muhammad SAW menerusi akaun Facebooknya, dua tahun lepas.

Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas Lim Yu Hui, 29, selepas dia mengaku bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan dan memerintahkan hukuman enam bulan penjara bagi setiap pertuduhan itu berjalan serentak bermula hari ini.

Yu Hui didakwa secara sedar memuat naik tiga hantaran komen jelik di laman Facebook menerusi akaun "Hallowen Day" dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di sebuah bengkel di Jalan Cecily, Sandakan, Sabah, antara jam 9.24 hingga 9.30 pagi, 18 September 2022.

Kesemua hantaran itu dilihat di sebuah unit residensi di Pantai Sentral di sini pada jam 10 pagi tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin memohon hukuman setimpal susulan tiga hantaran yang dibuat Lim dilakukan secara sengaja dalam tempoh masa berturut-turut dengan niat untuk menyakiti pembaca.

Bagaimanapun, Yu Hui yang tidak diwakili peguam memohon agar dikenakan hukuman penjara atas alasan tidak mampu untuk membayar denda kerana baru diberhentikan kerja berikutan kes yang dihadapinya.

"Saya menyesal atas perbuatan saya," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: