Kadar air domestik Pulau Pinang rasional - PBAPP

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

GEORGE TOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjelaskan bahawa kadar air domestik di negeri ini masih rasional dan munasabah meskipun tarif telah dinaikkan bermula tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K. Pathmanathan berkata, kali terakhir tarif air domestik negeri ini disemak pada 2015, justeru kadar baharu yang ditetapkan iaitu 0.86 sen untuk penggunaan domestik sehingga 35 meter padu (m3) sebulan adalah rasional.

Tambahan pula, kos pengeluaran dan pembekalan air terawat kepada pengguna di Pulau Pinang telah meningkat sebanyak 30 peratus dalam tempoh 2015 hingga 2023.

"Kos elektrik PBAPP untuk mengepam air ke seluruh negeri juga telah meningkat dengan ketara sejak pelaksanaan Imbalance Cost Past-Through (ICPT) Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 2023 di mana bil elektrik PBAPP telah meningkat sebanyak 22.3 peratus.

"Selain itu, dalam tempoh sembilan tahun dari 2015 hingga 2023, jumlah subsidi PBAPP untuk pengguna air domestik di Pulau Pinang adalah berjumlah RM834.74 juta yang mana ia tidak lagi dilihat sebagai mampan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pathmanathan menjelaskan, 77.3 peratus daripada 593,255 pengguna domestik di Pulau Pinang menggunakan 35 m3 air atau kurang dalam sebulan.

"Kos menghasilkan dan membekalkan satu m3 air terawat adalah lebih tinggi daripada kadar purata domestik 0.86 sen setiap m3 untuk penggunaan sehingga 35 m3 sebulan, jadi pada 2024, PBAPP masih memberi subsidi kepada pengguna air domestik untuk manfaat majoriti rakyat pada tahap yang masih rendah dan boleh diterima,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa salah satu sebab semakan kadar air di Semenanjung Malaysia dilakukan adalah kerana operator bekalan air awam seperti PBAPP terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi untuk membekalkan air.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sejak 30 Januari lepas, kadar air baharu telah dikawal oleh kerajaan Persekutuan bagi 11 negeri di Semenanjung Malaysia dan tiga wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Bagaimanapun Pathmanathan berkata, purata bil air domestik isi rumah di Pulau Pinang masih lebih rendah daripada bil elektrik, bahan api, penyambungan Internet dan perkhidmatan telefon mudah alih.

Semalam, Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong menggesa supaya wakil rakyat Pakatan Harapan untuk membawa isu berkaitan kadar baharu tarif air kepada Kerajaan Negeri dalam sidang Dewan Undangan Negeri akan datang.

Ini selepas pihaknya mendakwa kadar baharu bukan saja membebankan rakyat tetapi turut memberi kesan kepada pembangunan ekonomi negeri. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!