Representasi Papagomo gugur pertuduhan ditolak, perbicaraan bermula 11 Julai

Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris.
Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Representasi dikemukakan bekas Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris untuk menggugurkan pertuduhan menyebut kata-kata menghasut yang mengaitkan kerajaan pro kepada Israel dan barat pada tahun lepas ditolak Jabatan Peguam Negara (AGC).

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Deepa Nair Thevaharan pada Khamis kepada Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Aminah Ghazali pada prosiding sebutan bagi mengetahui status representasi yang dikemukakan Wan Muhammad Azri atau dikenali Papagomo, 41, pada 5 April lepas.

"Berhubung representasi dikemukakan tertuduh pada 5 April lepas, arahan yang diterima daripada AGC pada pagi ini adalah untuk meneruskan kes. Representasi tertuduh ditolak," kata Deepa.

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya, Datin Kalmizah Salleh berkata, pihaknya menyerahkan beberapa dokumen berkaitan perbicaraan kepada pihak pembelaan dan memohon tarikh pengurusan kes dalam masa sebulan bagi menyerahkan baki dokumen.

Peguam Logen Eskander Abdullah yang mewakili Wan Muhammad Azri mengesahkan perkara itu.

Sehubungan itu Siti Aminah berkata, kes akan diteruskan dengan perbicaraan pada tarikh yang ditetapkan sebelum ini pada 11, 12, 29 dan 30 Julai, serta menetapkan tarikh pengurusan kes selanjutnya pada 4 Julai ini.

Pada 8 Januari lepas Wan Muhammad Azri mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebut kata-kata menghasut yang mengaitkan kerajaan, pro kepada Israel dan Barat di laman Facebook.

Dia didakwa menghasut di laman Facebook ‘Halid Hamidi (Halid Mat Kool)’ dan kata-kata itu dilihat oleh individu di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang di sini pada jam 1 tengah hari, 8 November tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama, yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!