Jenayah kejam tidak masuk akal merisaukan

Dua anggota polis maut dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lalu.
Dua anggota polis maut dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lalu.
A
A
A

INSIDEN serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor hingga mengorbankan dua anggota polis pada minggu lalu sememangnya sangat mengejutkan negara.

Lebih-lebih lagi suspek yang baru berusia 21 tahun turut terbunuh dalam kejadian itu dan dipercayai bertindak sendirian.

Dengan umur semuda itu, pastinya sesiapa sahaja tidak menyangka suspek boleh nekad bertindak berani mati apabila menyasarkan menyerang anggota keselamatan di tempat mereka bertugas.

Dalam kes berkenaan, suspek bertopeng menceroboh balai dengan bersenjatakan parang sebelum menetak Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar di bahagian belakang leher dan kepala serta merampas pistol mangsa.

Suspek kemudian menembak rakan setugas Ahmad Azza Fahmi, Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said dengan menggunakan pistol yang dirampasnya.

Jika diimbas kembali, pernah berlaku tiga kes serangan di balai polis di negara ini sejak tahun 1980 dengan dua daripada insiden itu dilakukan oleh penyerang berkumpulan.

Dalam kes di Balai Polis Batu Pahat, Johor pada 16 Oktober 1980, sekumpulan ahli kumpulan ajaran sesat menyerang balai tersebut menyebabkan seramai 23 individu termasuk 14 anggota polis, petugas dan orang awam cedera.

Pada 4 Februari 2001 pula, Balai Polis Guar Chempedak di Kedah diserang sekumpulan individu daripada kumpulan yang terpengaruh dengan pelampau antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Kumpulan itu cuba merompak senjata api di balai itu sehingga menyebabkan dua anggota polis cedera.

Seorang anggota berpangkat lans koperal pula dilaporkan maut akibat ditembak dari jarak dekat dan ditetak senjata tajam semasa bertugas di Balai Polis Pinggiran Subang di Selangor pada 31 Ogos 2017.

Bagaimanapun, dalam kes terbaharu ini, polis dilaporkan mengenal pasti suspek tiada kaitan dengan kumpulan pengganas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kenyataan awal yang mengaitkan suspek sebagai ahli kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) adalah susulan bapa lelaki itu ada pengalaman dengan kumpulan pengganas tersebut.

Perkembangan siasatan itu lantas menimbulkan persoalan punca suspek boleh berani bertindak di luar akal yang waras.

Tiada sesiapa pun yang mahu menghancurkan hidup sendiri dengan melakukan pembunuhan kejam sedemikian rupa.

Perbuatan suspek yang menetak kepala dan leher mangsa jelas membuktikan niatnya yang sememangnya mahu membunuh. Negara juga sepanjang tahun lalu merekodkan puluhan kes pembunuhan kejam yang disifatkan terlalu sadis dan tidak masuk akal.

Antara kes pembunuhan kejam yang mencuri tumpuan ramai, antaranya penemuan mayat lelaki yang dipotong enam bahagian dalam bagasi di tepi jalan Kilometer 447, Lebuhraya Plus pada 17 Januari 2023.

Juga penemuan mayat wanita dibunuh disumbat dalam bagasi di hentian bas Kulai, Johor pada 13 April tahun sama.

Kes pembunuhan lain yang mengejutkan adalah pembunuhan seorang gadis, Nur Anisah Abdul Wahab, 21, yang dipukul hingga mati oleh teman lelakinya sebelum perut mangsa toreh dan mayatnya dibakar di kebun kelapa sawit di Sungai Limau, Sungai Besar, Selangor pada 22 Mei 2023.

Turut meraih tumpuan, kes seorang pemuda, R Darvnrajh, 24, ditikam 18 kali dan ditetak parang panjang sebelum mayatnya dibuang di kebun kelapa sawit di Kemuning, Alor Gajah, Melaka.

Lazimnya punca seseorang bertindak kejam dikaitkan dengan pengaruh dadah, masalah mental, fahaman yang terpesong selain disebabkan cemburu, dendam dan sebagainya.

Kes jenayah kejam yang berlaku itu sememangnya merisaukan orang ramai kerana sesiapa boleh menjadi mangsa.

Oleh itu, punca-punca kes pembunuhan tersebut perlu diteliti sedalamnya pihak berwajib supaya tindakan segera boleh dilakukan.

Ini termasuk tindakan mengawal kandungan di media sosial yang mungkin boleh mendorong seseorang kepada fahaman terpesong supaya kes keganasan dapat dibanteras daripada terus berlaku pada masa akan datang.

*Raiham Mohd Sanusi ialah wartawan meja am Sinar Harian

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!