X

Kindly register in order to view this article
!

Singapura-Malaysia bekerjasama tahan orang buruan

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

SINGAPURA - Singapura telah meminta bantuan pihak penguatkuasa undang-undang Malaysia untuk menahan lebih 55 orang buruan antara tahun 2016 hingga 2019.

Ia dilakukan di bawah Seksyen 121 Kanun Prosedur Jenayah, satu perjanjian timbal balik yang telah lama antara Singapura dengan Malaysia untuk saling mengiktiraf dan melaksanakan waran penangkapan di dalam negara masing-masing.

Orang buruan terbabit terlibat dalam jenayah serius seperti pembunuhan, pecah rumah dan jenayah komersial yang menyebabkan kerugian besar berjumlah lebih S$120 juta.

Pihak penguatkuasa undang-undang republik ini secara timbal balik pula telah menangkap dan menyerahkan penahanan kepada pihak berkuasa Malaysia, lebih daripada 25 orang buruan di Singapura dikehendaki oleh Malaysia pada tempoh itu.

Satu daripada kes yang mana pihak berkuasa Malaysia membantu rakan sejawatannya di Singapura adalah penahanan seorang warga Malaysia, Took Leng How pada tahun 2004, yang telah melarikan diri dari republik itu semasa siasatan pembunuhan seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun, Huang Na yang mayatnya ditemukan di Telok Blangah Hill Park.

Perjanjian timbal balik itu telah membolehkan pihak penguatkuasa undang-undang Singapura untuk mendapat kembali ramai penjenayah yang melarikan diri ke Malaysia selepas melakukan jenayah di Singapura.

Perkara ini adalah sebahagian daripada maklum balas Pasukan Polis Singapura (SPF) kepada pertanyaan media berkaitan pemindahan tahanan Singapura kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kira-kira lima tahun lepas.

Rakyat Singapura terbabit pada 7 Januari lepas, meminta penjelasan daripada pihak berkuasa Singapura mengenai penahanannya dan ekstradisi ke Malaysia pada tahun 2015 atas pertuduhan yang dibuat terhadapnya dalam kes pembunuhan di Pulau Pinang.

Oleh itu, SPF telah membuat keputusan untuk membuat penjelasan “kerana terdapat anggapan yang tersebar luas dan tidak benar” mengenai apa yang berlaku dalam kes itu. - Bernama