KDA FC tumpu jentera serangan bertemu Perak FC

Kesebelasan utama KDA FC bertemu Selangor FC di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya pada Sabtu lalu. Foto KDA FC
Kesebelasan utama KDA FC bertemu Selangor FC di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya pada Sabtu lalu. Foto KDA FC
A
A
A

PENGENDALI Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain mahu anak buahnya memanfaatkan setiap peluang untuk menjaringkan gol apabila menerima kunjungan Perak FC pada saingan Liga Super 2024-2025 di Stadium Darul Aman Jumaat ini.

Menurutnya, pada aksi menentang Selangor FC pada Sabtu lalu, mereka berjaya mencipta peluang namun penyudahnya yang tumpul menyaksikan terpaksa menerima keputusan tewas tipis 1-0 kepada lawan di Petaling Jaya.

“Bagi saya yang penting kita mencipta peluang, jika tidak dapat mencipta peluang, itu yang saya risau. Mana-mana bahagian yang perlu kita perbaiki, kita akan lakukan bagi persiapan perlawanan seterusnya (menentang Perak FC).

“Mungkin pada masa itu (menentang Selangor FC) pemain berada dalam keadaan tekanan tinggi atau faktor-faktor lain tetapi kita perlu perbaiki lagi sebab bila sudah dapat peluang kita perlu manfaatkan (jaringkan gol). Peluang yang ada kita perlu gunakan seratus peratus,” katanya mengulas aksi ketiga Liga Super menjelang Jumaat ini.

Kemenangan kedua diburu oleh Sang Kenari apabila turun kali pertama beraksi di laman sendiri musim ini selepas dua perlawanan awal berturut-turut berlangsung di laman lawan.

KDA FC kini berada di tangga ke-10 selepas mencatatkan rekod satu menang dan satu kalah dalam dua siri perlawanan di gelanggang lawan tanpa sebarang mata.

Biarpun menang 0-1 ke atas PDRM FC pada aksi pertama, tiga mata tersebut dipotong susulan denda yang diputuskan oleh badan bebas, First Instance Body (FIB) akibat masalah tunggakan gaji yang dihadapi pada musim 2023.

Sementara itu, mengulas kelibat penyerang baharu KDA FC, Ebenezer Assifuah pula yang tidak diturunkan pada aksi menentang Selangor FC, Nafuzi berkata, pemain tersebut dilihat masih belum bersedia sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

“Ebenezer baharu sahaja seminggu bersama kita dan pada waktu perlawanan menentang Selangor FC mungkin sukar untuknya kerana tempo yang agak tinggi.

“Kita perlukan pemain yang betul-betul bersedia seperti Syafiq Ahmad yang masih baik, jadi kita kekalkan (Syafiq di atas padang).

“Tetapi pada perlawanan seterusnya, Insya-ALLAH kita akan menggunakan khidmat Ebenezer,” ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!