Kempen pembersihan etnik di Tebing Barat

Lebih 20 keluarga daripada komuniti Bedouin diusir dari kawasan di Lembah Jordan.
Lebih 20 keluarga daripada komuniti Bedouin diusir dari kawasan di Lembah Jordan.
A
A
A

RAMALLAH - Penduduk Palestin di wilayah diduduki di Tebing Barat mendedahkan peningkatan kejadian rampasan tanah secara senyap-senyap oleh pelampau Yahudi di tengah-tengah Perang Gaza yang semakin ganas.

Kumpulan hak asasi manusia mendakwa golongan itu menggunakan taktik dengan mendirikan lebih 10 pos baharu yang kononnya untuk aktiviti menggembala dan enggan berganjak dari situ.

Tindakan itu memberi tekanan kepada golongan penggembala daripada komuniti Bedouin di Ramallah dan Lembah Jordan kerana kawasan yang semakin terhad kerana puak pelampau Yahudi telah mengambil alih tempat mereka.

Sebuah rumah penduduk Palestin di bandar Burqah berhampiran Nablus di Tebing Barat yang musnah akibat perbuatan pelampau Yahudi.
Sebuah rumah penduduk Palestin di bandar Burqah berhampiran Nablus di Tebing Barat yang musnah akibat perbuatan pelampau Yahudi.

Mereka turut menggunakan anjing bengis untuk menakut-nakutkan penduduk Palestin dan merosakkan harta benda golongan itu selain haiwan ternakan mati. Keadaan itu menambah lagi kesengsaraan kepada mereka untuk meneruskan hidup.

Data dikeluarkan pertubuhan B'Tselem pada Mac lalu menunjukkan perpindahan penduduk di Lembah Jordan di mana 18 komuniti Bedouin terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing di Tebing Barat akibat ugutan berterusan puak ekstremis Yahudi.

Laporan itu jelas menunjukkan kempen pembersihan etnik di wilayah itu telah mencapai kemuncak di tengah Lembah Jordan setelah lebih 20 keluarga Palestin terus diusir tanpa belas kasihan.

“Perbuatan itu mendapati sokongan penuh Pasukan Pertahanan Israel (IDF),” ujar laporan itu lagi.

Artikel Berkaitan:

UGUT, RAMPAS HARTA PENDUDUK PALESTIN

Ia turut membongkar tindakan melampau golongan pelampau Yahudi ketika fasa awal perang genosid di Gaza pada November lalu.

Kumpulan itu yang memakai topeng sebagai penyamaran didakwa memecah masuk kandang kambing biri-biri milik penduduk Palestin dikenali sebagai Jamal dan turut menindik telinga kira-kira 35 haiwan tersebut sebagai penanda nombor.

Mereka kemudiannya melaporkan kepada pihak berkuasa kononnya puluhan kambing biri-biri itu telah dicuri.

Pihak berkuasa Israel bertindak merobohkan rumah komuniti Bedouin di bawah kempen pembersihan etnik ke atas golongan itu.
Pihak berkuasa Israel bertindak merobohkan rumah komuniti Bedouin di bawah kempen pembersihan etnik ke atas golongan itu.

Akibat laporan palsu itu, Jamal ditahan polis Israel dan didenda 17,000 shekel (RM21,490) dan kini hanya dapat mengawasi kambing biri-biri miliknya dari jauh.

Kejadian itu adalah salah satu contoh bagaimana pelampau Yahudi merampas harta benda milik penduduk Palestin dengan bantuan pihak berkuasa Israel.

Puak penggembala di Lembah Jordan terus menjadi sasaran ekstremis Yahudi yang mahu merampas tanah milik mereka.
Puak penggembala di Lembah Jordan terus menjadi sasaran ekstremis Yahudi yang mahu merampas tanah milik mereka.

Satu lagi insiden melibatkan tindakan provokasi dilakukan ekstremis Yahudi yang sengaja memacakkan bendera Israel dan apabila ia dicabut penggembala Palestin, mangsa bersama jirannya dipukul oleh puak tersebut.

Situasi di Lembah Jordan semakin meruncing ketika komuniti antarabangsa memberi tumpuan terhadap perkembangan perang genosid di Gaza.

Penduduk Palestin terus menjadi sasaran serangan pelampau Yahudi hingga menyebabkan mereka tiada pilihan lain kecuali meninggalkan rumah masing-masing jika mahu selamat. - Agensi

- Info:

>Penduduk di Lembah Jordan dan lereng bukit termasuk enklaf komuniti Bedouin, Arrab al-Milihat tiba di kawasan itu pada 1981 setelah diusir sebanyak dua kali daripada kampung halaman mereka.

>Hampir 65,000 penduduk Palestin dan kira-kira 11,000 pendatang haram Yahudi tinggal di kawasan itu.

>Israel melarang penduduk Palestin daripada memasuki atau menggunakan kira-kira 85 peratus kawasan di Lembah Jordan.

>Menurut pertubuhan yang mengawasi projek penempatan haram Yahudi, Peace Now, Israel telah merampas lebih 1,000 hektar tanah milik penduduk Palestin di Tebing Barat sejak awal tahun lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!