LBS kekal prestasi kewangan kukuh Q1FYE2024

LIM HOCK SAN
LIM HOCK SAN
A
A
A

SHAH ALAM - LBS Bina Group Berhad (LBS) iaitu syarikat pemaju hartanah terkemuka pilihan rakyat mengumumkan keputusan kewangan yang belum diaudit bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (Q1FYE2024).

Bagi suku dalam tinjauan, LBS melaporkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (PATMI) sebanyak RM30.53 juta, disokong oleh hasil sebanyak RM342.1 juta.

Berbanding PATMI Q1 pada tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM30.5 juta, keputusan Q1 tahun ini menunjukkan konsistensi dalam prestasi kewangan yang mantap dan strategi kewangan yang efektif.

Segmen pembangunan hartanah menyumbang sebanyak 96 peratus daripada jumlah hasil kumpulan yang diraih menerusi projek pembangunan utamanya di Lembah Klang, termasuk LBS Alam Perdana, KITA @ Cybersouth, Prestige Residence dan projek Rumah Idaman.

Secara signifikannya, segmen hartanah mengalami pertumbuhan ketara sebanyak 19 peratus dalam PAT dan mencapai jumlah RM42.6 juta.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San berkata, kecekapan operasi dan usaha mengoptimumkan kos terbukti dengan peningkatan margin PATMI yang lebih baik dengan peningkatan daripada 8 peratus kepada 9 peratus bagi suku dalam tinjauan.

“Ini memberi penanda aras kepada langkah progresif LBS di dalam mengekalkan margin keuntungan yang stabil. Selaras dengan langkah strategik dan komitmen LBS untuk meningkatkan landskap hartanah, kumpulan telah melancarkan tiga buah projek utama dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.12 bilion.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

“Pelancaran ini termasuk Projek Pangsapuri dan Rumah Bandar BSP Sutera yang bernilai RM207 juta, Projek Pangsapuri Perkhidmatan SkyRia di Puchong dengan nilai sebanyak RM265 juta dan juga Projek Alam Perdana Central Hub (Kilang Berkembar dan Kilang Teres) di Alam Perdana yang menyumbang kepada jumlah keseluruhan sebanyak RM648 juta,”katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, LBS juga turut teruja untuk mengumumkan bahawa unit-unit kilang berkembar dan teres di Alam Perdana Central Hub yang telah dilancarkan baru-baru ini yang menyaksikan kadar pengambilan sebanyak 50 peratus.

“Berfungsi sebagai elemen perindustrian pusat, projek ini dilihat sebagai pemangkin kepada sektor logistik dan pergudangan yang semakin berkembang, didorong dengan lonjakan e-dagang.

“Sebagai pemaju hartanah yang berpengalaman dalam segmen kediaman dan komersial, kilang Alam Perdana Central Hub mencerminkan keupayaan kami untuk bertindak di samping merebut peluang dalam segmen perindustrian.

“Ini didorong oleh permintaan pasaran Malaysia yang kukuh dan peningkatan dalam pelaburan sektor pembuatan, logistik dan teknologi yang memerlukan ruang industri secara khusus,”katanya.

Hock San berkata, dengan perancangan tepat dan kedudukan strategik, pihaknya memanfaatkan kepakaran LBS di dalam pembangunan hartanah untuk mewujudkan ruang industri yang bersesuaian bagi memenuhi keperluan perniagaan yang semakin berkembang.

Pelancaran baharu itu dijangka akan menyumbang secara positif bagi tempoh tiga tahun akan datang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!