KL dinobat bandar raya kedua terhebat di Asia Tenggara

Foto hiasan 123RF
Foto hiasan 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kuala Lumpur dinobatkan sebagai bandar raya kedua terhebat di rantau Asia Tenggara selepas Singapura yang disenaraikan dalam Indeks Bandar Global Oxford Economics 2024.

Senarai terkini itu memperlihatkan ibu negara Malaysia di kedudukan 135 daripada 1,000 bandar di dunia manakala Singapura muncul sebagai bandar raya terhebat apabila berada di tempat ke-42 dalam indeks tersebut.

Bandar utama lain di Asia Tenggara ialah Bangkok, Thailand yang menduduki tempat ke-192 dan diikuti Manila, Filipina berada di tempat ke-256 dan Jakarta, Indonesia pula kedudukan ke-284.

Secara keseluruhan, New York, Amerika Syarikat (AS) menduduki tempat pertama Indeks Bandar Global Oxford Economics, diikuti London, United Kingdom (UK) dan San Jose, AS.

Oxford Economics berkata, Indeks Bandar Global itu meliputi 1,000 bandar besar di dunia yang terletak di 163 negara.

Indeks berkenaan mengandungi lima kategori iaitu ekonomi, modal insan, kualiti kehidupan, alam sekitar dan tadbir urus yang diagregatkan untuk mencipta skor keseluruhan bagi setiap bandar.

Mengikut Indeks Bandar Global Oxford Economics itu, Kuala Lumpur berada pada kedudukan ke-106 dari segi ekonomi yang diukur mengikut saiz ekonomi, struktur, pertumbuhan setiap bandar, meneliti sejarah prestasi dan potensi masa depan.

Dari segi sumber manusia yang mengukur iklim pendidikan dan perniagaan setiap bandar sejajar dengan trend demografi memperlihatkan Kuala Lumpur berada pada kedudukan ke-21.

Artikel Berkaitan:

Indeks Bandar Global Oxford Economics itu menunjukkan Kuala Lumpur berada pada kedudukan ke-391 bagi kualiti kehidupan yang mengambil kira manfaat tinggal di setiap bandar dan kesejahteraan penduduk meliputi kewangan dan hasil kesihatan serta akses kepada kemudahan.

Dari segi alam sekitar dan tadbir urus, Kuala Lumpur berada pada kedudukan ke-526 dan ke-334 daripada 1,000 bandar di dunia dalam indeks berkenaan.

Selain Kuala Lumpur, bandar raya Georgetown, Pulau Pinang menduduki tempat ke-351 dalam indeks berkenaan diikuti Melaka di tangga ke-359 dan Johor Bahru di tempat ke-376.

Pengarah Perkhidmatan Bandar Oxford Economics, Mark Britton berkata, bandar raya adalah pusat ketamadunan manusia di mana inovasi, kepelbagaian dan kemajuan bergabung.

Bagaimanapun, beliau berkata, dinamik bandar yang kompleks kebiasaannya mengurangkan pemahaman umum terhadap faktor menjadikan sesebuah bandar itu berjaya.

“Indeks Bandar Global Oxford Economics menyediakan rangka kerja yang konsisten bagi menilai kekuatan dan kelemahan 1,000 bandar raya terhebat di seluruh dunia. Ditambah dengan unjuran kami, ia membolehkan organisasi dan pembuat dasar untuk melakukan keputusan strategik yang lebih bermaklumat.

“Walaupun skor indeks ini berasaskan prestasi sekarang, terdapat potensi pergerakan yang besar dalam ranking untuk tahun-tahun akan datang memandangkan 1,000 bandar raya global ini mengharungi pelbagai trend global.

“Ini termasuk ketidaktentuan ekonomi, ketidakstabilan politik, paras hutang tinggi, trend globalisasi, tekanan ke atas kesihatan dan perumahan, serta kesan perubahan iklim. Ini antara trend global yang berpotensi mengubah ranking,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!