Usahawan perlu terokai pasaran Asia Tenggara

Halimi (tengah) menyampaikan Anugerah Usahawan Gemilang SELBIZ 2023 kepada Robiatul Adawiyyah Ibrahim (usahawan syarikat Rabi Sugarflour Cafe' Ent) pada Malam Anugerah Usahawan PKNS 2023 di Shah Alam pada Rabu. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID
Halimi (tengah) menyampaikan Anugerah Usahawan Gemilang SELBIZ 2023 kepada Robiatul Adawiyyah Ibrahim (usahawan syarikat Rabi Sugarflour Cafe' Ent) pada Malam Anugerah Usahawan PKNS 2023 di Shah Alam pada Rabu. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Usahawan tempatan perlu meneroka dan mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat lebih tinggi khususnya di Asia Tenggara yang mempunyai peluang dan potensi besar sekali gus mengukuhkan perniagaan mereka di peringkat global.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia berikutan kira-kira 600 juta penduduk di rantau ini dan terdapat potensi sesuatu perniagaan berkembang dan permintaan yang tinggi daripada industri di rantau ini.

Beliau berkata, usahawan tidak perlu mengehadkan fikiran mereka dalam persekitaran negara sahaja kerana mereka perlu melihat dunia luar dan kemampuan untuk bersaing di peringkat rantau dan global.

“Di rantau Asia Tenggara, kita mempunyai 600 juta penduduk dan Indonesia sahaja mempunyai 200 juta penduduk daripada keseluruhannya.

“Ada usahawa yang ingin kembangkan perniagaan mereka ke benua Eropah, Amerika Syarikat dan India sedangkan di ASEAN, kita mempunyai mempunyai 600 juta penduduk yang sudah mencukupi malahan mempunyai pasaran yang tersendiri.

“Kita lebih ingin berniaga di tempat lain berbanding rantau ini yang telah mempunyai pasaran seperti negara Vietnam, Indonesia dan Kemboja yang mempunyai pertumbuhan dan permintaan daripada industri bernilai tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Malam Anugerah Usahawan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) 2023 di sini pada malam Rabu.

Turut hadir, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas.

Artikel Berkaitan:

Amirudin berkata, kerajaan negeri ingin melihat lebih banyak usahawan dan syarikat bumiputera yang berjaya dan dapat bersaing di pasaran global sekali gus akan banyak memberikan sumbangan positif kepada pembangunan ekonomi negeri ini.

“Malah kerajaan negeri Selangor telah memperuntukkan sejumlah dana menerusi Hijrah Selangor untuk memberikan pembiayaan mikro kredit kepada usahawan kecil negeri Selangor bagi pelaksanaan program membantu usahawan kecil mengembangkan perniagaan mereka serta menambah modal.

Amirudin (tiga dari kiri) menyampaikan anugerah kepada Tengku Nurhanim pada Malam Anugerah Usahawan PKNS 2023 di Shah Alam pada Rabu. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID
Amirudin (tiga dari kiri) menyampaikan anugerah kepada Tengku Nurhanim pada Malam Anugerah Usahawan PKNS 2023 di Shah Alam pada Rabu. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID

“Usaha ini adalah bagi mendokong dasar pembangunan usahawan demi memperkasa dan melestarikan ekonomi usahawan di negeri Selangor,” katanya.

Amirudin berkata, PKNS juga mempunyai produk dan jaringan program pembangunan usahawan yang tersusun, daripada program berbentuk latihan dan didikan mentor dan menti, sehinggalah program yang menimbulkan minat kepada pelajar sekolah untuk berniaga.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Keusahawanan PKNS, Azilah Arasad@Arshad berkata menerusi Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU), sebanyak 35 program utama keusahawanan telah dilaksanakan setakat ini.

Beliau berkata pada tahun lepas, nilai ekonomi yang telah dicapai oleh usahawan menerusi bimbingan mereka dalam program berkenaan adalah melebihi RM202 juta.

”Melalui Expo Usahawan Selangor (SELBIZ) yang dianjurkan tahun lepas, hampir 200 usahawan menyertai program itu dengan jumlah transaksi jualan bernilai RM2.27 juta dan jumlah pengunjung sebanyak 44,658 orang,” ujar Azilah.

Bagi pemenang Anugerah Usahawan Premium: Nims Adeliciousz Sdn Bhd (NIMS), Tengku Norhanim Tengku Othman pula bersyukur kerana memenangi anugerah tersebut.

“Saya tidak menjangkakan memenangi anugerah ini dan berterima kasih kepada PKNS.

"PKNS banyak membantu kami terutamanya dalam pembangunan usahawan pada tahun lepas.

“Selain program pembangunan usahawan, NIMS juga menyertai Program Pembangunan Produk Ke Arah Access Retail dan Export Ready (MEXPRO) 2023.

"NIMS juga menyertai program yang dianjurkan oleh PKNS antaranya di Hong Kong dan Indonesia,” katanya.

Tengku Norhanim berkata, NIMS juga akan fokus untuk memperluaskan produknya dalam pasaran antarabangsa antaranya ke Emiriah Arab Bersatu pada suku pertama tahun ini.

Sempena ulang tahun PKNS yang ke-60 tahun ini, PKNS menerusi BPU mengadakan Malam Anugerah Usahawan PKNS bagi mengiktiraf usahawan yang dibimbing dengan penyampaian 12 anugerah malam tadi.

Kesemua penerima anugerah membawa pulang piala, wang tunai dan mendapat keahlian BizClub PKNS secara percuma selama dua tahun.

Selain mengiktiraf usahawan, PKNS turut memberi penghargaan kepada rakan agensi, iaitu Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), SME Corporation Malaysia, Majlis Amanah Rakyat (Mara), dan Agrobank yang telah mengadakan beberapa jalinan kerjasama melalui pelbagai program keusahawanan PKNS tahun lepas.


INFO

Senarai pemenang pada Malam Anugerah Usahawan PKNS 2023:

Anugerah Usahawan Gemilang SELBIZ 2023: Robiatul Adawiyyah Ibrahim (usahawan syarikat Rabi Sugarflour Cafe' Ent)

Anugerah Usahawan Terbaik Bizup 2023: Siti Suraya Shariff (usahawan syarikat Sorrellicious Legacy)

Anugerah Usahawan Terbaik GROW 2023: Nur Asiah Kuzaiman (usahawan syarikat Asiah Kuzaiman Enterprise)

Anugerah Usahawan Terbaik GROW PLUS 2023: Yazmeen Anshary (usahawan syarikat Avantcom International Sdn Bhd)

Anugerah Usahawan PKNS (Luar Selangor): Sparkles Group Sdn Bhd dari Johor.

Anugerah Industri Makanan/Minuman (Pembuatan): DNA Herbal Industries Sdn Bhd

Anugerah Industri Makanan/Minuman (Perkhidmatan): Jaqued Holdings Sdn Bhd

Anugerah Industri Perkhidmatan: Melody Corporation House Sdn Bhd

Anugerah Industri Peruncitan: Ashvertising Marketing Sdn Bhd

Anugerah Industri Pembuatan: Eskandar Global Sdn Bhd

Anugerah Usahawan Global: Syarikat Pak Tam Katering Sdn Bhd

Anugerah Usahawan Premium: Nims Adeliciousz Sdn Bhd