Terokai keunikan Lenggong

Pemandangan menghijaukan yang dapat dilihat dari Kuak Hill Resort.
Pemandangan menghijaukan yang dapat dilihat dari Kuak Hill Resort.
A
A
A

IPOH - Lenggong bukanlah satu nama asing dalam industri pelancongan negara ketika ini.

Pengisytiharannya sebagai Tapak Warisan Dunia pada 30 Jun 2012 oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menjadi titik tolak kepada kepesatan pembangunan pemuliharaan nilai warisan dan ekonomi komuniti setempat di daerah Hulu Perak.

Ini disusuli penarafan sebagai Geopark Kebangsaan pada 16 Disember 2021 yang mengukuhkan lagi kedudukan kawasan menyimpan pelbagai sejarah formasi geologi bertaraf antarabangsa.

Impak positif itu berjaya merangsang pertumbuhan produk pelancongan baharu serta membuka peluang lebih luas kepada pemain industri dalam memperkenalkan aktiviti berkonsepkan ekopelancongan dan geopelancongan.

Karnival Agropelancongan Perak 2024 (PAC 2024) yang diadakan di Dataran Tasik Raban baru-baru ini, membuka langkah kanan kepada kawasan yang kaya dengan limpahan khazanah warisan dan keunikan itu dalam segmen agropelancongan.

Pengunjung diberi peluang memberi makan rusa dan menyentuh haiwan berkenaan dari dekat.
Pengunjung diberi peluang memberi makan rusa dan menyentuh haiwan berkenaan dari dekat.

Agropelancongan yang menumpu kepada aktiviti pertanian, penternakan serta perikanan kini semakin mendapat tempat dalam kalangan pelancong tempatan dan luar negara.

Konsep aktivitinya yang melakukan pelbagai kegiatan bersama pengusaha memberi kepuasan dan pengalaman berbeza kepada pelancong.

Artikel Berkaitan:

Lebih menarik, pengunjung juga dapat mempelajari proses menyelenggara, menternak dan melihat sendiri proses penghasilan sesuatu produk makanan atau minuman sebelum dipasarkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Datuk Yahanis Yahya berkata, penganjuran PAC 2024 sebagai bukti komitmen membantu kerajaan negeri mencapai sasaran kemasukan lapan juta pelancong.

Menurutnya, langkah itu juga sejajar dengan Tahun Melawat Perak 2024 bagi mengaktifkan semula aktiviti pelancongan domestik sebagai destinasi utama yang kompetitif.

“Kita sasar kehadiran pengunjung dari negara-negara luar termasuk Singapura, Indonesia dan Thailand,” katanya.

Lawatan sehari turut membawa media ke Galeri Lenggong Geopark.
Lawatan sehari turut membawa media ke Galeri Lenggong Geopark.

Khazanah, sejarah penting

Banyak tempat menarik di sekitar Lenggong untuk dilawati antaranya Galeri Lenggong Geopark, Galeri Arkeologi Lembah Lenggong, Galeri Aki Aji, Kuak Hill Resort dan Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek) Ladang Rusa Sadang.

Dalam lawatan sehari bersama Pengurus besar Strategik dan Pembangunan Kerajaan Perak SADC, Zulfadzli Muhd Irpan itu, petugas media disajikan pemandangan indah Tasik Raban yang menerima jolokan ‘Mini Amazon’ dengan menaiki bot.

Tasik buatan berkeluasan 25.9 kilometer persegi yang dahulunya dikenali Tasik Chenderoh itu terhasil daripada aliran Sungai Perak yang disekat oleh projek empangan hidroelektrik pertama negara ini yang dibina pada 1928, seterusnya menghasilkan limpahan Sungai Perak lalu membentuk puluhan pulau kecil.

Dikelilingi suasana berair dan dipagari suasana gunung dari dua banjaran yang terbentang luas iaitu Banjaran Bintang dan Banjaran Titiwangsa, menambahkan lagi pesona Tasik Raban.

Dikelilingi suasana berair dan dipagari suasana gunung dari dua banjaran yang terbentang luas iaitu Banjaran Bintang dan Banjaran Titiwangsa, menambahkan lagi pesona Tasik Raban.
Dikelilingi suasana berair dan dipagari suasana gunung dari dua banjaran yang terbentang luas iaitu Banjaran Bintang dan Banjaran Titiwangsa, menambahkan lagi pesona Tasik Raban.

Tasik itu membentuk ekosistem akuatik unik dengan nilai estetik dan kepelbagaian biologi tinggi kerana kaya dengan tumbuhan mengkuang, rumput air dan teratai di bahagian hulu tasik tersebut.

Usai menikmati keindahan panorama Tasik Raban, pengunjung boleh menjamah hidangan istimewa air tangan penduduk Lenggong iaitu nasi lemak goreng di Warung Sedat dan makan tengah hari nasi talam di Warung Mak Tam.

Olahan masakan yang menggabungkan nasi lemak dan goreng itu bukan sahaja unik, tetapi rasanya yang menyelerakan. Begitu juga nasi talam yang diinspirasikan daripada sajian istana dahulu kala dengan menjadikan ikan sungai dan ulaman sebagai menu utama.

Lawatan ke Prospek Ladang Rusa Sadang membuka mata bahawa Lenggong kini melangkah lebih jauh dalam bidang ternakan.

Ladang ternakan yang terletak di Mukim Durian Pipit itu kini mempunyai kira-kira 250 ekor rusa baka timorensis melibatkan keluasan tanah 80 hektar.

Pengunjung bukan sahaja dapat mempelajari mengenai anatomi dan habitat rusa, malah diberikan peluang memberi makan rusa dan menyentuhnya.

Padang terbuka luas membolehkan pengunjung menaiki kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan (ATV) mengelilingi kawasan sekitar untuk melihat haiwan itu bersiar-siar dengan bebas.

Selepas puas meneroka sekitar kawasan, media dibawa merehatkan diri di Kuak Hill Resort yang terletak di Kampung Kuak, Lata Papan.

Berada pada ketinggian 540 meter dari paras laut menyajikan pengunjung dengan keindahan alam semula jadi di sekelilingnya selain menikmati pandangan Banjaran Titiwangsa dan Tasik Raban yang memukau.

Tidak lengkap kunjungan ke Lenggong sekiranya tidak ke Galeri Lenggong Geopark dan Galeri Arkeologi Lembah Lenggong yang menyimpan khazanah dan sejarah penting negara.

Lenggong Geopark menyimpan dua bukti kejadian penting selain penemuan tulang rangka Orang Perak atau Perak Man berusia antara 10,000 hingga 11,000 tahun di dalam Gua Gunung Runtuh.

Kesan penting yang dicatatkan itu adalah longgokan debu larva gunung berapi Toba yang meletus 75,000 tahun lalu di Bukit Sapi serta penemuan batu suevit di Bukit Bunuh akibat hentaman meteorit kira-kira 1.83 juta tahun lampau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!