Jangan jadikan inap desa sumber duit haram

Foto hiasan 123RF. Gambar kecil: Prof Dr Baharom Abdul Hamid.
Foto hiasan 123RF. Gambar kecil: Prof Dr Baharom Abdul Hamid.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sifat tamak dan mementingkan diri merupakan pendorong utama pengusaha inap desa menyewakan premis kepada orang tidak dikenali tanpa mengambil tahu siapakah pelanggan tersebut.

Penganalisis Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Prof Dr Baharom Abdul Hamid berkata, golongan pengusaha inap desa yang tamak tidak mempedulikan siapakah pelanggan mereka, asalkan ada yang sudi menyewa premis disediakan.

Beliau berkata, kumpulan peniaga tersebut hanya memikirkan perniagaan mereka dapat berjalan lancar dan memperoleh keuntungan biarpun daripada siapa yang menyewakan inap desa milik mereka.

Kata beliau, perkara seumpama itu seharusnya tidak berlaku kerana ia boleh mendatangkan masalah kepada pemilik sekiranya ada aktiviti jenayah dilakukan dalam inap desa tersebut.

"Andai kata inap desa mereka dijadikan tempat membuat jenayah, ia pastinya akan mendatangkan kesusahan kepada golongan pemilik di kemudian hari.

"Sebagai contoh, inap desa mereka digunakan sebagai tempat penyimpanan atau transit pendatang asing tanpa izin (PATI) oleh pihak tidak bertanggungjawab, maka pemilik premis akan disoal siasat pihak berkuasa.

"Perkara seumpama ini pastinya akan mendatangkan masalah kepada pemilik inap desa tersebut, malah memberi tanggapan tidak baik kepada penguasaha inap desa yang lain," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai modus operandi pihak sindiket menggunakan inap desa sebagai tempat perlindungan atau transit PATI yang baru tiba dari luar.

Artikel Berkaitan:

Beberapa kes seumpama itu berjaya dibongkarkan pihak berkuasa apabila melakukan serbuan dilakukan baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Baharom berkata, meskipun terdapat sebilangan pengusaha inap desa yang jahil dalam perkara tersebut, namun ia tidak boleh dijadikan alasan.

Menurut beliau, semua pengusaha inap desa sama ada di kawasan kampung atau bandar perlu cakna dengan siapa mereka berurusan.

Jelas beliau, semua maklumat peribadi penyewa perlu diketahui dan direkod sebaiknya sebagai rujukan.

Sehubungan itu katanya, semua pengusaha inap desa perlu menambah pengetahuan masing-masing dalam urusan pernigaan.

Tegasnya, bukan sekadar mengelak daripada ditipu, mereka juga perlu lebih berhati-hati dengan siapa mereka berurusan.

Dalam pada itu, beliau berkata, peraturan yang jelas perlu difahami oleh semua pengusaha inap desa untuk tidak menyalahguna lesen yang diberikan bagi melindungi mana-mana PATI atau bersekongkol dengan pihak tidak bertanggungjawab.

"Mungkin kerajaan juga perlu meletakkan peraturan lebih ketat kepada pengusaha inap desa supaya tidak terlibat dengan sebarang kegiatan jenayah.

"Sekiranya didapati bersalah, lesen perniagaan atau perusahaan inap desa yang dijalankan boleh dibatalkan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!