Unjuran siling kemasukan pekerja asing tak lebih 15 peratus akan dicapai hujung tahun

Saifuddin Nasution ketika sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali ke-11 di Menara PERKESO, pada Isnin. Foto Bernama
Saifuddin Nasution ketika sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali ke-11 di Menara PERKESO, pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Unjuran siling kemasukan pekerja asing iaitu tidak melebihi 15 peratus daripada jumlah guna tenaga negara seperti yang ditetapkan Kementerian Ekonomi akan dapat dicapai sebelum 31 Disember tahun ini, menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, setakat ini 17.1 juta daripada 34 juta rakyat Malaysia adalah dianggap sebagai kelompok atau tenaga boleh guna.

"Jadi 15 peratus siling yang diberikan Kementerian Ekonomi bermaksud jumlah pekerja asing seluruh negara tidak boleh melampaui siling itu.

"... dan kita dapati siling yang ditetapkan oleh kementerian itu akan dicapai pada penghujung tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong di sini pada Isnin.

Saifuddin Nasution berkata, unjuran berkenaan turut mengambil kira jumlah pekerja asing sedia ada, jumlah pekerja asing yang majikan mereka telah mendapat kelulusan kuota dan jumlah yang telah mendaftar melalui program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

Beliau berkata, mesyuarat juga bersetuju bahawa pembekuan kemasukan pekerja asing adalah diperakukan.

Mesyuarat hari ini juga, katanya bersetuju untuk membenarkan penggajian kali pertama terhadap tekong asing melebihi usia 60 tahun bermula tahun ini dan ia memandangkan tekong mempunyai pengalaman besar selain sektor perikanan menyumbang RM16.5 bilion hasil tangkapan setiap tahun.

"Kita benarkan (penggajian tekong) 60 tahun ini dan tempoh adalah tidak melebihi 36 bulan sebab pas lawatan kerja sementara adalah setiap enam bulan. Musim tengkujuh dia (tekong) tidak turun ke laut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Saifuddin Nasution berkata, setakat ini, jumlah tekong yang dibenarkan untuk digajikan ialah 332 orang dan dihadkan hanya tempoh tiga tahun sah.

"(Selepas itu) kita akan kaji semula dan minta kementerian merangka ‘exit policy’ (dasar pemisah) dan penggunaan teknologi semasa bagi menampung kemampanan perikanan dalam negara,” katanya.

Sementara itu, Steven berkata, Kementerian Sumber Manusia menyokong keputusan mesyuarat jawatankuasa bersama untuk melanjutkan pembekuan kuota kemasukan pekerja asing

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata kerajaan mengekalkan keputusan untuk membekukan kelulusan kuota kemasukan pekerja asing baharu rentetan bilangan pekerja dalam negara telah menghampiri sasaran yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menurut Steven, jumlah pekerja asing yang bekerja dalam negara adalah seramai 2,171,798 orang berlandaskan kepada rekod Jabatan Imigresen Malaysia setakat 15 Mac. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!