Tarikh akhir pengambilan pekerja asing pada 31 Mei dikekalkan - KDN

Saifuddin (kanan) ketika sidang media di kementeriannya hari ini. - Foto Bernama
Saifuddin (kanan) ketika sidang media di kementeriannya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Tarikh akhir pengambilan pekerja asing menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 pada 31 Mei depan sebagaimana yang diputuskan sebelum ini dikekalkan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan faktor keselamatan negara dan beberapa justifikasi lain yang dipertimbangkan.

Menurutnya, keputusan itu dibuat secara bersama oleh semua kementerian berkaitan iaitu KDN, Kementerian Sumber Manusia dan Agensi Kawal Selia (AKS).

"Ini membolehkan kerajaan menilai keberkesanan inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan dan mengukur secara tepat keperluan tenaga kerja asing dalam negara sebelum membuat pertimbangan keperluan pembukaan kuota penggajian pekerja asing," katanya menerusi sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan berpandu kepada penetapan Kementerian Ekonomi mengenai siling jumlah tenaga kerja asing iaitu 15 peratus daripada keseluruhan guna tenaga kerja dalam negara

Saifuddin berkata, Jabatan Perangkaan mengunjurkan keseluruhan guna tenaga kerja dalam negara menjelang November 2023 adalah seramai 17,000,000.

"Justeru, siling yang dibenarkan bagi jumlah keseluruhan pekerja asing dalam negara adalah seramai 2,550,000 orang," katanya.

Ujar beliau, sehingga 29 Februari, jumlah pekerja asing aktif yang direkodkan oleh imigresen adalah seramai 2,130,931 orang.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, berdasarkan prestasi semasa pelaksanaan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 dan jangkaan kemasukan pekerja asing bagi kuota yang telah diluluskan, unjuran jumlah pekerja asing dalam negara pada tahun ini boleh mencecah siling yang ditetapkan oleh Kementerian Ekonomi seawal 31 Mei depan.

"Justeru bersandarkan faktor keselamatan negara, kerajaan telah bertindak dan mengambil keputusan segera untuk menetapkan tarikh akhir kemasukan pekerja asing sektor formal," jelas Saifuddin.

Sementara itu, Saifuddin berkata, Program Repatriasi Migran yang telah berjalan selama tujuh hari berjaya mengutip RM2,899,900 nilai kompaun menerusi proses penawaran dan bayaran pas khas.

Sepanjang program berkenaan bermula 1 Mac lalu, seramai 5,983 pendatang tanpa izin telah berdaftar dengan 1,864 telah pulang ke negara asal.

Jumlah berdaftar itu terdiri daripada 3,115 permohonan warga Indonesia, Bangladesh (846), India (700), Pakistan (610), Sri Lanka (279) dan Nepal (196).

Selebihnya terdiri dari waga Myanmar, Filipina, Yemen, Syria, Mesir, Nigeria, Thailand, Vietnam dan China.

Ditanya mengenai adakah KDN menyenarai hitam mereka yang telah pulang untuk memasuki kembali negara ini, Saifuddin berkata, kementerian akan menilai setiap kemasukan berdasarkan kesalahan dilakukan pihak terlibat.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28