Kes Ebit Lew: Tangkap layar WhatsApp dedah mesej lucah

Ebit keluar dari Mahkamah Tenom pada Selasa.
Ebit keluar dari Mahkamah Tenom pada Selasa.
A
A
A

TENOM - Sebanyak 33 gambar tangkap layar dalam aplikasi WhatsApp termasuk gambar alat sulit lelaki yang ditunjukkan di mahkamah pada Selasa adalah perbualan berunsur lucah membabitkan pendakwah terkenal Ebit Lew.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad dalam sesi pemeriksaan utamanya terhadap pengadu dalam kes ini turut merujuk kepada sebanyak 436 gambar daripada laporan forensik dalam cakera padat.

Nor Azizah dalam prosiding tersebut meminta saksi kesembilan itu membaca perbualannya bersama Ebit Lew menerusi tangkap layar WhatsApp.

Malah wanita itu mengesahkan bahawa WhatsApp yang diterimanya adalah daripada Ebit Lew menerusi gambar pertama yang dirujuk kepadanya.

"Itu memang teks daripada dia, cara dia tulis satu-satu dan WhatsApp yang banyak-banyak dan dia beritahu 22 Mac itu dia berada di Dubai," katanya.

Pengadu turut dirujuk pada gambar tangkap layar perbualan berunsur lucah termasuk pada bulan Ramadan oleh Ebit Lew.

Dalam gambar tangkap layar perbualan dalam WhatsApp terdapat enam mesej telah dipadam.

"Ya, saya sempat baca... masa itu Ebit Lew marah sebab saya tidak melayani kehendak dia untuk meminta gambar dan panggilan video," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perbicaraan kali ini, mahkamah menyediakan penghadang bagi pengadu di bahagian kandang saksi di mana ia terletak berhadapan dengan kandang tertuduh.

Perbicaraan ditangguh dan akan disambung semula pada jam 9.30 pagi Rabu.

Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 38, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah dan Analia Kamaruddin manakala Ebit diwakili barisan peguamnya Datuk Ram Singh dan Nizam Salleh Keruak dan Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.