Kes gaduh tular tiada unsur kongsi gelap - Polis

Gambar kecil: Aidi Sham
Gambar kecil: Aidi Sham
A
A
A

PORT DICKSON - Polis menafikan pergaduhan di sebuah kedai di Kampung Sungai Sendayan, Springhill, di sini pada 11 Mei lalu, ada kaitan dengan unsur kongsi gelap seperti yang ditularkan di media sosial.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, ia berdasarkan siasatan lanjut yang dijalankan pihaknya berhubung kejadian pada jam 12.50 tengah malam itu.

"Siasatan awal mendapati tiga mangsa telah mengalami kecederaan di bahagian kepala, telinga, tangan dan lengan, dua mangsa menerima rawatan di Hospital Port Dickson dan seorang lagi di Hospital Seremban.

"Punca kejadian kerana salah seorang mangsa telah menyalahgunakan gambar dalam aplikasi WhatsApp menyebabkan suspek tidak berpuas hati.

"Mangsa dan suspek ketika itu dalam pengaruh minuman keras," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ujarnya, lima suspek lelaki tempatan berusia 32 hingga 42 tahun telah ditangkap antara 11 hingga 13 Mei lepas di kawasan Seremban dan Teluk Kemang atas kesalahan merusuh.

"Empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan kesemua telah direman di lokap Balai Polis Port Dickson. Kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya Negeri Sembilan dan kesemuanya telah dituduh di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan pada 17 Mei lalu di Mahkamah Majisteret Port Dickson," katanya.

Dalam pada itu katanya, orang awam dinasihatkan supaya tidak menularkan isu berkenaan yang boleh mendatangkan kegusaran awam.

Artikel Berkaitan:

"Adalah diingatkan juga supaya semua pihak berhemah dalam menggunakan media sosial yang mana boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, jika didapati melakukan kesalahan tersebut," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!