Mati dalam tahanan: Keluarga syukur dapat ganti rugi RM197,600

Fadhelah (dua dari kanan) ditemuramah wartawan di luar mahkamah selepas hakim membuat keputusan pada Isnin.
Fadhelah (dua dari kanan) ditemuramah wartawan di luar mahkamah selepas hakim membuat keputusan pada Isnin.
A
A
A

GEORGE TOWN - Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi berjumlah RM197,600 kepada keluarga Fadzrin Zaidi yang meninggal dunia di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di sini lima tahun lalu.

Jumlah itu termasuk RM50,000 bagi kos guaman, RM57,600 untuk ganti rugi kehilangan tanggungan, RM30,000 bagi ganti rugi kesedihan, RM50,000 ganti rugi teruk, RM3,000 untuk kos pengebumian, RM5,000 bagi kos pengeluaran surat kuasa mentadbir harta pusaka dan RM2,000 perbelanjaan perjalanan.

Hakim Mahkamah Tinggi Georgetown, Datuk P Anand membuat keputusan berhubung ganti rugi kepada ibu mangsa, Fadhelah Othman, 56, selepas prosiding kes saman sivil keluarga tersebut terhadap kerajaan dijalankan.

Fadhelah selaku plantif memfailkan saman terhadap 11 defendan termasuk bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador; bekas Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasegran dan bekas Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor pada 2022.

Fadhelah berbual dengan salah seorang peguamnya selepas prosiding kes selesai.
Fadhelah berbual dengan salah seorang peguamnya selepas prosiding kes selesai.

Plantif mendakwa kematian anaknya yang berusia 29 tahun pada ketika itu adalah disebabkan berlaku kecuaian oleh pihak polis.

Ketika prosiding, Anand berkata, berlaku kelalaian polis di lokap IPD SPU tersebut sehingga menyebabkan berlakunya kematian tahanan.

"Ketika kejadian didapati kelalaian antaranya kamera litar tertutup (CCTV) tidak dipantau setiap masa dan perintah tetap tidak dipatuhi anggota bertugas.

Artikel Berkaitan:

"Sepatutnya perkara-perkara ini dipantau untuk mengelakkan kematian tahanan di lokap.

"Sekiranya perintah tetap dipatuhi, kejadian (tahanan bunuh diri) seperti ini boleh dielakkan," katanya ketika prosiding di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.

Pendakwaan kes tersebut dikendalikan Peguam Kanan Persekutuan, Nur Ezdiani Roleb dan Syafiq Affandy Hassan.

Sementara itu, peguam yang mewakili Fadhelah pula terdiri daripada M Visvanathan, V Sanjay Nathan dan V Pushan.

Sebelum ini, Fadzrin dari Kampung Perlis di Butterworth, pertama kali ditahan polis atas dakwaan memiliki dadah bersama rakan-rakan di lokasi yang tidak didedahkan pada 20 November 2019.

Polis mendapat perintah reman lima hari keesokan harinya dan Fadzrin ditempatkan di lokap berpusat di IPD SPU.

Dia disahkan meninggal dunia pada 22 November 2019 oleh polis, yang mendakwa dia membunuh diri.

Sijil kematiannya menyatakan punca kematian sebagai konsisten dengan menggantung diri.

Berdasarkan rakaman CCTV, Fadzrin kelihatan berkeliaran di bilik tahanannya manakala rakan dalam biliknya sedang tidur pada jam 1.05 pagi sebelum menggantung diri pada jam 1.51 pagi.

Dia disahkan meninggal dunia oleh paramedik pada jam 2.55 pagi.

Sementara itu, Fadhelah ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Tinggi memanjatkan kesyukuran kerana akhirnya keputusan mahkamah telah memihak kepadanya.

Fadhelah berkata, keputusan tersebut merupakan hadiah paling bermakna bagi hari lahirnya pada 14 Mei lalu.

"Alhamdulillah syukur kepada ALLAH kerana keputusan mahkamah memihak kepada saya. Pengorbanan saya berulang-alik dari seberang ke sini (pulau) selama dua tahun terbalas.

"Pada awal perbicaraan berlangsung, suami saya yang menemani saya ke mahkamah, tetapi dia jatuh sakit dan meninggal dunia pada 2021," katanya.

Ujarnya, selepas suaminya meninggal dunia, dia berulang-alik ke mahkamah bersama anaknya dengan menaiki motosikal.

"Kadang-kadang kami naik motosikal dan kadang-kadang menaiki Grab.

"Saya berpuas hati dengan keputusan mahkamah pada hari ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!