Wanita tikam rakan tujuh kali terlepas hukuman mati

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang wanita yang membunuh rakannya dengan tujuh tikaman kerana cemburu pada 14 tahun lalu, terlepas hukuman mati apabila Mahkamah Persekutuan di sini pada Isnin, menggantikannya kepada penjara selama 33 tahun.

Ia selepas panel tiga hakim, dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan permohonan Ooi Ai Peng, 46, di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Ketika membaca keputusan itu, Tengku Maimun berkata, hukuman mati terhadap bekas penjaga stor itu, diketepikan dan diganti dengan hukuman penjara bermula tarikh tangkap, 13 Mac 2010.

"Mahkamah mengetepikan hukuman mati dan menggantikan hukuman penjara selama 33 tahun," kata Tengku Maimun yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan.

Sementara itu, peguam, T Jayaraj yang mewakili Ai Peng memohon, mahkamah mengetepikan hukuman mati kerana tertuduh sudah menjalani hukuman penjara selama 14 tahun.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Tetralina Ahmed Fauzi membantah permohonan berkenaan.

“Pihak kami mencadangkan hukuman pemenjaraan sekurang-kurangnya 33 tahun perlu dikenakan terhadap tertuduh.

Pada 2011, Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah mendapati wanita itu bersalah atas tuduhan membunuh Suhana Mohd Sharif, 26, di luar premis bernombor 167, Taman Kristal Mergong, Alor Setar, pada jam 9.30 malam, 3 Mac 2010.

Artikel Berkaitan:

Pada 2013 dan 2014, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan tertuduh.

Dalam kejadian itu, Suhana ditikam tujuh kali sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada jam 11.35 malam hari yang sama.

Tertuduh pula dilaporkan bertindak menikam diri serta mengelar pergelangan tangan.

Kedua-dua wanita yang juga rakan sekerja di sebuah kedai alat tulis di daerah itu, dipercayai berselisih faham sebelum berlaku pertengkaran besar di antara mereka.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!