Mahkamah Persekutuan tetap 25 Jun dengar rayuan Family Frontiers

Mahkamah Persekutuan menetapkan 25 Jun ini untuk mendengar rayuan terhadap keputusan penafian hak kerakyatan yang difailkan Family Frontiers serta enam ibu warga Malaysia. Foto hiasan
Mahkamah Persekutuan menetapkan 25 Jun ini untuk mendengar rayuan terhadap keputusan penafian hak kerakyatan yang difailkan Family Frontiers serta enam ibu warga Malaysia. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Persekutuan menetapkan 25 Jun ini untuk mendengar rayuan terhadap keputusan penafian hak kerakyatan yang difailkan Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam ibu warga Malaysia.

Ia berhubung keputusan Mahkamah Rayuan pada 5 Ogos 2022, yang memutuskan bahawa kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia.

Peguam Kanan Persekutuan, Liew Horng Bin, yang mewakili kerajaan berkata, tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Suhaila Haron ketika pengurusan kes itu hari ini.

Horng Bin ketika dihubungi berkata, tarikh sama juga ditetapkan untuk mendengar rayuan oleh wanita yang dilahirkan di India, Mahisha Sulaiha Abdul Majeed, yang mahu mendapatkan deklarasi sebagai warganegara Malaysia.

Pada 14 Disember 2022, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada kesemua perayu bagi meneruskan rayuan mereka.

Dalam kes sivil, litigan perlu mendapatkan kebenaran sebelum meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu warga Malaysia dengan pasangan warga asing berhak mendapat kerakyatan Malaysia secara automatik.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 September 2021.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu dalam kes Mahisha, Mahkamah Rayuan pada hari sama (5 Ogos 2022), tidak membenarkan rayuan wanita itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2020 yang menolak saman yang difailkan beliau untuk mendapatkan deklarasi bahawa beliau berhak menjadi warganegara Malaysia.

Mahisha yang dilahirkan di India, yang ibunya rakyat Malaysia dan bapa warga India memfailkan saman pemula, menamakan Ketua Pengarah JPN, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden. - Bernama