Suasana hiba iringi perjalanan terakhir Konstabel Muhamad Syafiq

Anggota polis mengusung keranda Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said bagi urusan pengebumian.
Anggota polis mengusung keranda Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said bagi urusan pengebumian.
A
A
A

KUANTAN - Meskipun reda, namun tangisan syahdu dan linangan air mata ahli keluarga menyelubungi upacara pengebumian Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said pada Sabtu.

Suasana pilu turut dirasai sanak saudara dan kenalan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Jalan Gambang di sini bagi mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham ke negeri abadi.

Muhamad Syafiq, 24, merupakan anggota ronda cegah jenayah bersama seorang lagi terkorban dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada pagi Jumaat.

Jenazah Muhamad Syafiq dibawa dari kediamannya di Taman Seri Mahkota Jaya di sini untuk disembahyangkan dan tiba lokasi pengebumian kira- kira jam 5.18 petang.

Ahmad Said menyiram air di atas pusara anaknya Allahyarham Muhamad Syafiq di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Jalan Gambang, pada Sabtu.
Ahmad Said menyiram air di atas pusara anaknya Allahyarham Muhamad Syafiq di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Jalan Gambang, pada Sabtu.

Ahli keluarga diberi peluang untuk memberi penghormatan terakhir sebelum jenazah disembahyangkan di rumah keluarga di sini.

Keranda anak ketujuh daripada lapan beradik itu dibaluti Jalur Gemilang dibawa keluar daripada van jenazah polis untuk upacara yang dijalankan mengikut istiadat pengebumian Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Turut memberi penghormatan terakhir Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman.

Artikel Berkaitan:

Yahaya kemudian menyerahkan Jalur Gemilang kepada bapa Allahyarham Ahmad Said Md Piah sebagai tanda penghormatan terakhir.

Ahmad Said (duduk) memeluk erat Jalur Gemilang di samping isterinya, Aini Mohd Sharif ketika di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Jalan Gambang pada Sabtu.
Ahmad Said (duduk) memeluk erat Jalur Gemilang di samping isterinya, Aini Mohd Sharif ketika di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Jalan Gambang pada Sabtu.

Ahmad Said kelihatan sebak sebaik sahaja menerima Jalur Gemilang sambil memeluk erat bendera terbabit.

Pengebumian terbabit dihadiri ratusan ahli keluarga, sanak saudara, rakan, pegawai serta anggota polis daripada Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bagi mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham.

Upacara pengebumian disempurnakan oleh polis IPK Pahang dan jenazah selamat dikebumikan pada jam 5.50 petang.

Sementara itu, Yahaya menzahirkan rasa dukacita dengan kematian salah seorang anggota polis akibat serangan di balai polis terbabit.

Beliau berkata, pihaknya akan membantu pihak keluarga dalam pengurusan jenazah sehingga selesai.

"Apa-apa juga bantuan yang diperlukan, kita akan bantu," katanya ringkas.

Allahyarham Konstabel Muhammad Syafiq terkorban dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, 2.45 pagi semalam.

Turut terkorban, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 tahun serta suspek berusia 21 tahun.

Sementara Koperal Mohd Hasif Roslan cedera ditembak dan ditetak, kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail.