Tentera Udara Singapura sambung semula penerbangan jet F-16

Dalam insiden pada 8 Mei, jet F-16 terhempas di Pangkalan Udara Tengah sejurus selepas berlepas.
Dalam insiden pada 8 Mei, jet F-16 terhempas di Pangkalan Udara Tengah sejurus selepas berlepas.
A
A
A

SINGAPURA - Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) akan menyambung semula penerbangan armada F-16 mereka selepas penyebab kemalangan terkini yang melibatkan jet pejuang tersebut telah dikenal pasti.

Kementerian Pertahanan Singapura (MINDEF) dalam kenyataan pada Sabtu berkata perakam data penerbangan yang ditemui daripada kemalangan menunjukkan bahawa giroskop paksi anggul atau pitch rate gyroscopes memberikan input yang salah kepada komputer kawalan penerbangan.

"Ini menyebabkan juruterbang tidak dapat mengawal pesawat semasa berlepas," katanya.

Punca kejadian tersebut ditentukan melalui penyiasatan terperinci oleh RSAF dan pengeluar pesawat, Lockheed Martin (LM).

Dalam insiden pada 8 Mei, jet F-16 terhempas di Pangkalan Udara Tengah sejurus selepas berlepas. Juruterbang berjaya keluar dengan selamat dan menerima rawatan perubatan.

Kementerian berkata semua jet pejuang F-16 dilengkapi dengan empat giroskop paksi anggul dan kegagalan serentak giroskop ini adalah kejadian yang sangat jarang berlaku, oleh itu LM tidak menetapkan sebarang penyelenggaraan untuk giroskop berkenaan.

"Ini adalah kegagalan serentak giroskop paksi anggul yang pertama pada armada F-16 RSAF yang telah beroperasi selama lebih 35 tahun," katanya.

Kementerian berkata sebagai langkah berjaga-jaga tambahan, setiap giroskop kadar pitch F-16 akan diperiksa dan disahkan sebelum penerbangan disambung semula.

Artikel Berkaitan:

RSAF bersama LM akan menjalankan kajian lanjut untuk menentukan punca khusus bagi kerosakan giroskop yang menyebabkan kemalangan itu, kata MINDEF. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!