TUDM rai kejayaan rekod 30,000 jam penerbangan armada H225M

Axel de Pascal (kiri) menyampaikan anugerah kepada Mohd Asghar Khan.
Axel de Pascal (kiri) menyampaikan anugerah kepada Mohd Asghar Khan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) meraikan kejayaan apabila merekodkan 30,000 jam penerbangan menerusi helikopter H225M (EC725 Caracal).

Airbus dalam kenyataan pada Isnin berkata, pencapaian 30,000 jam penerbangan armada helikopter H225M TUDM itu antara tertinggi di Asia.

"Sebuah daripada 12 helikopter H225M TUDM mencatat rekod tersendiri apabila menjadi pesawat pertama yang dipasang dengan kotak gear utama dipertingkatkan (EMGB) di luar Eropah.

"EMGB akan memberikan pernambahan keteguhan dan mengurangkan beban kerja penyelenggaraan armada H225M," katanya.

Sempena kejayaan itu, Airbus menganjurkan majlis di Pangkalan Udara TUDM Labuan dan dihadiri oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Turut hadir adalah Ketua Perwakilan Airbus di Malaysia, Burhanudin (Burhan) Noordin Ali dan Pengarah Urusan, Airbus Helicopters Malaysia, Axel de Pascal.

De Pascal dilaporkan berkata, Airbus berbangga dengan perkhidmatan secara berkesan dan cekap armada H225M kepada TUDM.

"Armada tersbut memainkan peranan yang penting dalam semua misi strategik dan taktikalnya. Kami sangat berbesar hati untuk bersama tentera udara meraikan capaian penerbangan penting ini yang menekankan kepentingan aset ini kepada operasi TUDM," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Juruterbang H225M TUDM yang telah mencapai rekod 2,000, 1,500, 1,000 dan 500 jam penerbangan juga telah diberikan anugerah pencapaian jam penerbangan di majlis tersebut.

TUDM memiliki 12 unit helikopter H225M yang telah berkhidmat semenjak 2012.

Helikopter H225M yang direka bentuk untuk menangani misi yang paling mencabar, telah menyertai pelbagai misi latihan dan kemanusiaan, termasuk operasi penyelamatan semasa banjir dan operasi menyelamat nyawa.

Helikopter H225M membolehkan pasukan tentera di hantar ke mana sahaja pada bila-bila masa ia diperlukan.

Pada masa kini, sejumlah 170 helikopter H225M berada dalam perkhidmatan di seluruh dunia manakala lebih daripada 200 helikopter jenis SuperPuma sedang beroperasi di rantau Asia Pasifik.

Selain Malaysia, Brazil, Perancis, Indonesia, Mexico, Singapura, Thailand dan Kuwait juga bergantung kepada keupayaan helikopter H225M untuk menyokong dan melaksanakan misi mereka yang paling mencabar.