Teater 'Najis Jadi Teman' sempena tiga dekad penubuhan IWK

Bersempena dengan tiga dekad ulang tahun penubuhan syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd akan mempersembahkan sebuah teater amal bertajuk 'Najis Jadi Teman' yang akan dipentaskan pada 22 Jun depan.
Bersempena dengan tiga dekad ulang tahun penubuhan syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd akan mempersembahkan sebuah teater amal bertajuk 'Najis Jadi Teman' yang akan dipentaskan pada 22 Jun depan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bersempena dengan tiga dekad ulang tahun penubuhan syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd akan mempersembahkan sebuah teater amal bertajuk 'Najis Jadi Teman' yang akan dipentaskan pada 22 Jun depan.

Pementasan teater tersebut menjanjikan pengalaman yang pasti membuka minda orang ramai tentang kerja-kerja kotor, sukar dan berbahaya melibatkan kumbahan yang sering dilupakan.

Teater amal berdurasi satu jam itu diarahkan oleh pelakon berpengalaman Razif Hashim, menampilkan pelakon dan penyanyi Atilia Haron bersama-sama Alfred Loh serta Phraveen Arikiah sebagai pelakon utama, dibantu oleh beberapa orang kanak-kanak daripada badan bukan kerajaan Yayasan Chow Kit, di sini.

Ketua Komunikasi Korporat IWK, Wan Esuriyanti Wan Ahmad berkata, syarikat itu tampil dengan pendekatan unik, iaitu bercerita bagi memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan rawatan kumbahan, selain mengetengahkan kepentingan IWK dalam industri pembetungan.

"IWK sentiasa menggunakan pelbagai pendekatan dalam mendidik dan meningkatkan kesedaran tentang betapa pentingnya rawatan kumbahan dalam kehidupan seharian. Jadi, pihak syarikat berasakan teater adalah satu platform kreatif yang boleh dipelopori dalam menyampaikan naratif kami dengan cara menghiburkan,” katanya pada sidang media di sini.

Mengulas lanjut, Wan Esuriyanti berkata, tajuk teater tersebut diilhamkan daripada sebuah sajak ringkas yang ditulis beliau semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menghargai pengorbanan pasukan operasi syarikat itu yang bertugas sepanjang tempoh berkenaan.

"Saya tersentuh hati apabila melihat rakan-rakan saya, terutama pasukan operasi yang 24 jam berada di lapangan termasuk di loji kumbahan, di kala semua orang sedang ‘berkurung’ di rumah. Tambahan pula mereka perlu memakai peralatan perlindungan diri (PPE).

"Jadi tajuk ini merupakan gambaran terbaik untuk menjelaskan kepada orang ramai mengenai realiti sebenar kerja yang kami lakukan di sini, sekali gus diharap menyuntik kesedaran kepada yang menontonnya nanti,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Razif berkata, penceritaan teater tersebut akan membawa penonton menelusuri sejarah loji pembetungan negara, fungsinya dan cerita-cerita di sebalik tabir yang tidak pernah didengari.

"Penonton akan turut dihiburkan dengan tarian, lagu-lagu menarik selain terdapat aktiviti interaktif, dan aksi unik yang akan dipersembahkan,” kata beliau.

Orang ramai boleh membuat pembelian tiket teater amal tersebut yang berharga RM100 bermula 20 Mei ini melalui tempahan di platform Cloud Joi, dan hasil keseluruhan jualan tiket akan disumbangkan kepada Yayasan Chow Kit. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!