Anih Berhad ambil langkah segera insiden harimau mati dilanggar
KUANTAN - Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Anih Berhad telah mengambil langkah segera susulan kejadian melibatkan seekor harimau mati dilanggar kenderaan di Kilometer (KM) 50.8 arah Barat, KLK pada awal pagi Khamis.
Anih dalam kenyataannya memberitahu, pihaknya telah menangani isu tersebut bersama pihak polis dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) demi memastikan keselamatan semua pihak.
"Untuk makluman beberapa langkah segera telah diambil termasuk membersihkan lokasi kejadian, mengalihkan bangkai harimau dan telah diserahkan kepada Perhilitan untuk tindakan selanjutnya.
"Pemandu kenderaan berada dalam keadaan selamat dan keadaan pengurusan trafik juga terkawal," kata kenyataan tersebut.
Anih Berhad turut menyifatkan kejadian tersebut satu situasi yang memilukan serta menegaskan bahawa keselamatan nyawa manusia mahupun haiwan adalah keutamaan pihaknya.
"Kita sedia maklum bahawa insiden seperti ini jarang berlaku.
"Bagaimanapun, ia adalah satu peringatan yang jelas tentang kepentingan kesedaran dan pemanduan yang selamat dalam setiap perjalanan, terutamanya di kawasan berhampiran habitat haiwan," tambah kenyataan tersebut.
Jelas Anih Berhad, pihaknya sangat memahami kepentingan melindungi spesies yang terancam seperti harimau, dan komited untuk memastikan keselamatan serta pemeliharaan haiwan berkenaan.
"Kami menyeru agar kita semua bersama-sama dalam usaha mencegah kejadian serupa dan meningkatkan keselamatan ketika pemanduan agar kita dapat membantu pemeliharaan haiwan terancam ini demi manfaat bersama dan generasi akan datang," ujarnya.
Sebelum itu, Pengarah Perhilitan Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 1.23 pagi mengakibatkan harimau belang jantan yang mempunyai anggaran berat 130 kilogram itu mati di tempat kejadian.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!