Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Jangan kongsi maklumat tidak pasti

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

KOTA KINABALU - Orang ramai terutama warganet dinasihatkan supaya tidak berkongsi maklumat yang tidak pasti mengenai insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada awal pagi tadi, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, sebaliknya orang ramai perlu mendapatkan maklumat daripada sumber yang sah, antaranya pihak berkuasa bagi memastikan mereka tidak menyebarkan maklumat yang tidak betul berkenaan insiden terbabit.

"Insiden ini masih dalam siasatan dan kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan maklumat penuh kejadian, saya pasti PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan memberikan maklumat penuh mengenai insiden ini nanti. Kita serahkan kepada mereka.

"Nasihat saya kita jangan terburu-buru buat spekulasi, kerana boleh timbulkan berbagai reaksi tidak betul dan tidak baik mengenai insiden itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sembang santai bersama Komuniti Madani di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian 2.45 pagi itu, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis dan suspek yang berusia lingkungan 30-an, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan itu cedera.

Memberikan contoh, Fahmi berkata, baru-baru ini tular di media sosial satu hantaran gambar resit kononnya dikeluarkan sebuah restoran makanan segera yang menyentuh isu 3R (agama, bangsa dan institusi raja), tetapi sebenarnya mesej di ruangan 'remark' itu dibuat oleh seorang individu yang memesan makanan secara dalam talian.

"Saya lihat ada suatu sikap kita (iaitu) tiada maklumat itu tetapi kita sudah buat keputusan...ini sangat bahaya. Sama juga dengan insiden Ulu Tiram saya minta semua jangan terlalu pantas capai konklusi seolah-olah kita sudah tahu. Serahkan kepada polis buat siasatan, kita nantikan maklumat penuh," katanya.

Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) boleh dan telah mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dengan sebaran palsu atau mengganggu gugat ketenteraman awam di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Fahmi turut merakamkan ucapan takziah daripada Jemaah Menteri kepada ahli keluarga anggota polis yang menjadi mangsa dalam insiden serangan berkenaan.

"Bagi pihak kerajaan dan Jemaah Menteri, saya ingin sampaikan dan rakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa terbabit dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram pada awal pagi tadi," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!