Stadium Sultan Muhammad IV penuhi syarat MFL

KDN FC akan menggunakan Stadium Sultan Muhammad IV sebagai venue rasmi bagi perlawanan Liga-M 2024/25.
KDN FC akan menggunakan Stadium Sultan Muhammad IV sebagai venue rasmi bagi perlawanan Liga-M 2024/25.
A
A
A

STADIUM Sultan Muhammad IV telah memenuhi syarat Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk menjadi gelanggang 'keramat' Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) di sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2024/25 setelah pelbagai kemudahan di stadium itu dibaik pulih.

Exco Belia Sukan, NGO dan Perpaduan negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, antaranya yang dibaik pulih adalah lampu limpah lama telah ditukar baru dan memasang kerusi sebanyak 6,728 unit untuk penonton bagi keselesaan penonton.

Katanya, ketika ini kecerahan lampu limpah stadium itu masih di atas paras minimum syarat MFL iaitu melebihi 1,200 lux (kawasan kecerahan) dan kebanyakan kawasan boleh mencecah sehingga 1,300-1,900 lux dan sedia digunakan untuk Liga-M musim ini.

"Selain itu, jumlah kerusi yang dipasang adalah di tempat duduk Astaka sebanyak 1,684 unit dan tempat terbuka sebanyak 5,044 unit dengan kapasiti stadium boleh memuatkan seramai 15,178 penonton," katanya baru-baru ini.

Sementara itu, Zamakhshari berkata, bagi mengatasi masalah rumput kuning di stadium itu kerana musim kemarau, pihak Perbadanan Stadium Kelantan telah mengambil beberapa inisiatif bagi mengatasi masalah berkenaan.

"Sekarang Kelantan menghadapi kemarau hampir lima bulan menyebabkan sebahagian rumput sedikit kuning tidak mendapat air yang secukupnya walaupun kerja-kerja penyiraman secara berjadual telah dibuat sepanjang masa.

"Pihak Perbadanan Stadium telah berusaha untuk menambah punca air dengan melaksanakan telaga tiub bagi memastikan padang berkeadaan baik sebelum sepak mula Liga-M," katanya.

KDN FC akan melayani kunjungan Sabah FC pada aksi sulung di Stadium Sultan Muhammad IV pada saingan Liga Super musim ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!