Tiket Malaysia Masters 2024 laris

No Image Caption
A
A
A

BAHANG kehangatan penganjuran Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2024 di Axiata Arena Bukit Jalil dari 21 hingga 26 Mei ini kian dirasai selepas tiket kejohanan itu laris terjual khusus bagi pusingan suku akhir hingga akhir.

Menurut penganjur, penjualan tiket kejohanan berstatus Super 500 itu meraih respon positif terutama bagi kategori Platinum dan Premium sekali gus membuktikan Perodua dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bakal menjanjikan pertarungan sengit antara kelompok 10 pemain terbaik dunia.

"Kita mendapat maklum balas luar biasa menerusi penjualan tiket kerana tiket Platinum dan Premium untuk suku akhir, separuh akhir dan akhir laris dan berbaki tidak banyak lagi untuk dibeli," menurut Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam kenyataan itu.

Beliau dalam masa sama menasihati peminat badminton supaya membuat pembelian segera terutamanya untuk tiga hari pertama.

"Saya harap peminat badminton turut tidak melepaskan peluang membanjiri Axiata Arena untuk menunjukkan sokongan kepada pemain negara. Inilah peluang untuk peminat menyaksikan persembahan pemain ternama dunia yang sedang melakukan persiapan ke Olimpik Paris," katanya.

Mohamad Norza berkata, seramai 294 pemain dari 25 negara menghantar penyertaan untuk Malaysia Masters 2024 manakala 21 daripadanya adalah pemain di bawah naungan BAM.

"Walaupun pusingan kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 bagi badminton sudah berakhir, namun Malaysia Masters tetap berjaya menarik penyertaan bintang dalam kelompok 10 terbaik dunia," katanya.

Lima pemain kelompok 10 terbaik dunia bagi perseorangan lelaki mengesahkan penyertaan, termasuk wakil Denmark, Viktor Axelsen (1) dan Anders Antonsen (4), Li Shi Feng dari China (7), Kunlavut Vitidsarn dari Thailand (8), dan Loh Kean Yew dari Singapura (10), selain pemain negara Lee Zii Jia (11), akan bersaing merebut gelaran.

Artikel Berkaitan:

Acara perseorangan wanita, tiga pemain kelompok 10 terbaik dunia akan menyertainya dengan diketuai Han Yue (7) dan Wang Zhi Yi (9) dari China dan Zhang Beiwen dari Amerika Syarikat (10), selain juara 2018 dari Thailand, Ratchanok Intanon (11).

"Dalam acara beregu lelaki, bakal menyaksikan pertandingan hebat Kim Astrup-Anders Rassmussen dari Denmark (4) dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik (5) selain He Ji Ting-Ren Xiang Yu dari China (11).

Beregu wanita pula bakal menyaksikan antaranya pemain Jepun, Kie Nakanishi-Rin Iwanaga (13) dan pasangan negara Pearly Tan-M Thinaah (14).

"Beregu campuran pula menyaksikan penyertaan pasangan negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (9) dan Mathias Christiansen-Alehandra Boje dari Denmark (10), sebagai pilihan utama dalam menghangatkan lagi perebutan kejuaraan," katanya.

INFO

Pada edisi 2023, HS Pranoy dari India muncul juara perseorangan lelaki, Akane Yamaguchi dari Jepun (perseorangan wanita), Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan (beregu lelaki), Baek Ha Na-Lee So Hee dari Korea (beregu wanita) dan Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand (beregu campuran).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!