Peluang Tang Jie-Ee Wei raih gelaran Malaysia Masters

Tang Jie (kiri) dan Ee Wei diletakkan sebagai pilihan utama pada Malaysia Masters di Bukit Jalil minggu depan.
Tang Jie (kiri) dan Ee Wei diletakkan sebagai pilihan utama pada Malaysia Masters di Bukit Jalil minggu depan.
A
A
A

KEJOHANAN Malaysia Masters di Arena Axiata, Bukit Jalil minggu depan menjadi medan terbaik buat beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menguji kemampuan mereka menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 Julai depan.

Malah jurulatihnya, Nova Widianto mencabar pasangan itu yang menghuni ranking kesembilan dunia untuk memburu kejuaraan pada kejohanan berstatus Super 500 tersebut.

Beliau berkata, Tang Jie-Ee Wei perlu menyerlahkan potensi sebenar dan memanfaatkan peluang setelah diletakkan sebagai pilihan pertama susulan ketiadaan gandingan utama dunia bersaing kali ini.

“Kedudukan selaku pilihan pertama, seharusnya mereka manfaatkan peluang ini (juara). Ini adalah ujian menguji kekuatan mental mereka sebelum Olimpik.

“Tidak mudah, apatah lagi bermain di laman sendiri. Nampak macam boleh tetapi kadang-kadang apabila tidak dapat bermain dengan baik, ia boleh membuatkan mereka gementar dan beri kesan kepada permainan.

“Jadi, ini ujian paling berat untuk mereka sebelum ke Olimpik dan saya harap boleh atasi ini,” kata Nova.

Nova merupakan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Beijing 2008 bersama pasangannya, Liliyana Natsri.

Tang Jie-Ee Wei dijangka membuka tirai saingan Malaysia Masters menentang pasangan ke-46 dunia dari Thailand, Pakkapon Teeraratsakul-Phataimas Muenwong pada pusingan pertama.

Artikel Berkaitan:

Edisi lalu, Tang Jie-Ee Wei tersingkir seawal pusingan pertama selepas tewas kepada pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dalam pertarungan tiga set.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!