Harga tiket funikular Bukit Bendera naik bermula Mei

PBBPP mengumumkan kadar harga tiket baharu bagi funikular Bukit Bendera berkuat kuasa pada 1 Mei ini.
PBBPP mengumumkan kadar harga tiket baharu bagi funikular Bukit Bendera berkuat kuasa pada 1 Mei ini.
A
A
A

GEORGE TOWN - Harga tiket untuk perkhidmatan kereta api kabel atau funikular Bukit Bendera akan dinaikkan RM2 untuk tiket sehala laluan biasa bagi semua kategori umur bermula 1 Mei ini.

Kenaikan harga itu untuk pemegang MyKad, MyKid serta pemegang kad yang sah iaitu Malaysia My Second Home (MM2H), permit kerja, pasangan warganegara Malaysia dan lain-lain.

Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) berkata, kenaikan itu menjadikan tiket sehala yang sebelum ini berharga RM6 menjadi RM8.

Menurutnya, bagi tiket dua hala laluan biasa pula, kenaikan adalah sebanyak RM4 menjadikan harga tiket baharu ialah RM16.

"Bagi kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun dan warga emas 60 tahun ke atas, harga tiket baharu untuk dua hala adalah RM8 berbanding RM6 sebelum ini dan RM4 untuk tiket sehala.

"Tiket 'Sunrise' baharu untuk pemegang MyKad dan MyKid yang boleh didapati pada musim luar puncak berharga RM5 berbanding RM3 ketika ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kata PBBPP lagi, peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan selain disebabkan oleh inflasi dan kelemahan kadar pertukaran mata wang merupakan faktor kenaikan harga tiket berkenaan.

"Keadaan yang tidak dapat dielakkan ini menyebabkan PBBPP perlu menyemak semula harga tiket dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan:

"Perkhidmatan funikular Bukit Bendera sama seperti perkhidmatan lain yang terjejas oleh kos operasi dan penyelenggaraan yang sentiasa meningkat bagi perkhidmatan serta infrastruktur.

"PBBPP sentiasa melabur dalam menaik taraf prasarana dan kemudahan di Bukit Bendera untuk meningkatkan pengalaman pengunjung.

"Semakan harga tiket terakhir dibuat pada tahun 2019," tambah beliau lagi.

PBBPP berkata, bagi memastikan funikular boleh dinaiki oleh pemegang MyKad, MyKid dan penduduk tempatan, pihaknya akan memastikan harga tiket kekal berpatutan.

"Walaupun kadar harga berubah, harga tiket funikular Bukit Bendera kekal sebagai salah satu yang paling berpatutan di seluruh dunia.

"PBBPP tidak berkompromi berhubung aspek keselamatan dalam pengurusan dan operasi sistem funikular serta prasarana Bukit Bendera untuk keselesaan dan keselamatan pengunjung.

"PBBPP ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung atas sokongan berterusan terhadap Bukit Bendera sekali gus menjadikannya pusat peranginan bukit pilihan di Malaysia dan rantau ini," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!