Tiga penunggang ditahan pamer aksi bahaya di lebuh raya

Tiga individu yang ditahan kerana menunggang motosikal dengan mempamerkan aksi berbahaya di Lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban, di sini, pada Rabu.
Tiga individu yang ditahan kerana menunggang motosikal dengan mempamerkan aksi berbahaya di Lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban, di sini, pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan tiga lelaki menunggang motosikal dengan mempamerkan aksi berbahaya di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban di sini, mengundang padah apabila kesemua mereka ditahan polis pada Rabu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang penunggang yang dikesan melakukan aksi 'superman' bermula dari kilometer (KM) 289 sehingga KM 291 lebuh raya berkenaan arah utara pada jam1.30 pagi.

"Tangkapan penunggang motosikal itu dijalankan di sebuah stesen minyak di kawasan rehat dan rawat lebuh raya itu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Azman berkata, tangkapan kedua pula pada jam 3.44 pagi terhadap dua lelaki yang menunggang motosikal dengan melakukan aksi bersaing sesama sendiri dan aksi 'superman' bermula dari KM294 sehingga KM299 di lebuh raya tersebut.

"Dua penunggang motosikal itu ditahan di sebuah restoran di Dang wangi, di sini. Kesemua lima penunggang motosikal berusia 21 hingga 24 tahun dibawa ke balai polis trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk tindakan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Mohd Azman berkata, objektif utama operasi itu adalah untuk membendung dan membanteras kegiatan samseng jalanan serta mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

"Kita juga telah menahan sekumpulan individu yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di sebuah stesen minyak di lebuh raya berkenaan arah selatan pada jam 3.15 pagi.

"Hasil pemeriksaan mendapati empat penunggang tersebut tidak mempunyai lesen memandu dan mengubah suai motosikal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, secara keseluruhan sebanyak tujuh motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Honda RS150 disita.

"Selain itu, sebanyak 30 saman dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan," katanya.

Mohd Azman berkata, pihaknya memberi amaran bahawa memandu dan menunggang secara melulu dan berbahaya merupakan satu kesalahan.

"Kita akan terus memburu mana-mana individu yang masih berdegil dan tidak gerun dengan hukuman dikenakan atas kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan.

"Tiada kompromi bagi pesalah mat rempit dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjaga," tegasnya.