Projek telaga jejari: Dua bekas pegawai kanan syarikat air direman

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Dua bekas pegawai kanan syarikat air dan dua konsultan pembinaan telaga direman tiga hari bermula Khamis bagi membantu siasatan Projek Pembinaan Telaga Jejari membabitkan nilai lebih RM300 juta.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Rais Imran Hamid selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kota Bharu, di sini, pada Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 40-an hingga 60-an direman bagi membantu siasatan berhubung pembinaan telaga yang gagal berfungsi bagi membekalkan air mentah kepada Loji Rawatan Air membabitkan projek bernilai lebih RM300 juta.

Kesemua suspek ditahan di beberapa lokasi berbeza sekitar Kota Bharu antara jam 7 hingga 10 pagi semalam.

"Telaga ini sepatutnya berfungsi untuk membekalkan air yang mencukupi kepada penduduk, namun siasatan awal mendapati telaga-telaga ini tidak dapat menghasilkan kuantiti air secara optimum,” kata sumber itu.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan kesemua suspek dan berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!