Faisal ceria jumpa anak
PEMAIN Selangor FC (SFC), Faisal Halim menunjukkan perkembangan yang berbeza dan sangat ceria setelah dipertemukan dengan anaknya di sebuah hospital swasta di Shah Alam tiga hari lalu.
Ia merupakan pertemuan kali pertama sejak pemain berusia 26 tahun itu menerima rawatan kelecuran tahap empat akibat disimbah asid sulfurik pekat di sebuah pusat beli belah di Damansara, Petaling Jaya pada 5 Mei lepas
Malah Ahli Lembaga Pengarah SFC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, anak Faisal, Khalish Aryan dibenarkan untuk berjumpa dengan bapanya di pusat perubatan tersebut pada setiap hari.
Beliau berkata, Khalish Aryan juga difahamkan dapat menerima dengan baik keadaan bapanya yang masih dalam proses rawatan dan pemulihan dengan beberapa anggota badan masih berbalut.
"Doktor sudah beri kebenaran (anak) untuk datang setiap hari. Sejak tiga hari lepas. Ia adalah keputusan (kebenaran anak melawat) doktor dan Faisal.
"Faisal rapat dengan anaknya, berbual ceria dengan anaknya seperti biasa, cuma tak boleh dekat kerana keadaan masih sensitif dan tak boleh pegang sebab berbalut luka.
"Moral Faisal juga semakin baik sejak keluar dari ICU (unit rawatan rapi) beberapa hari lalu. Kurang tekanan berbanding sebelum ini," katanya ketika ditemui media selepas melawat Faisal pada Khamis.
Menyentuh hasrat Faisal untuk makan nasi kandar, Shahril yang juga Pengerusi Jawatankusa Teknikal SFC berkata, pemain kelahiran Pulau Pinang itu masih belum menikmati makanan kegemarannya itu.
"Teringin (nasi kandar) tapi belum lagi. Semalam (Rabu) dia makan ayam penyet," katanya.
Sinar Harian melaporkan Faisal yang dipindahkan ke wad biasa pada Selasa meluahkan keinginan untuk makan nasi kandar.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!